Susahnya Mengucapkan Maaf

Tips mengucapkan permohonan maafManusia memang tidak lari daripada melakukan kesalahan sama ada kecil atau besar. Kesalahan kepada Tuhan, manusia dan benda hidup lain di dunia ini, kadangkala kita terlupa untuk memohon keampunan. Tapi bagaimanakah cara untuk kita meminta maaf bergantung kepada pendekatan kita untuk memohon maaf. Namun seringkali kita berfikir ianya sesuatu yang remeh dan tidak masuk akal bahawa kita perlu meminta maaf atas apa yang kita buat disebabkan EGO? Maruah? Harga diri?

Islam mengajar manusia supaya memohon maaf dan memaafkan orang lain demi menjaga keutuhan ummah itu sendiri. Malahan, semua agama yang ada di dunia hampir pasti menggalakkan permohonan maaf dan memaafkan orang lain yang dianggap sebagai sesuatu yang mulia. Beberapa tips yang mungkin dapat digunakan oleh anda untuk memulakan sesuatu ucapan "maaf" kepada orang lain.

1. Sedar apa kesalahan yang telah dilakukan.
Cuba selidik apakah kesalahan dan punca yang membuatkan anda bersalah. Fahami sebab dan musabab kesalahan mampu menilai tahap kemarahan seseorang. Sekiranya perbuatan kesalahan anda terlalu besar, berkemungkinan ianya akan melibatkan dendam yang berpanjangan dan peluang anda mendapatkan kemaafan anda adalah "0". Namun lebih baik mencuba memohon maaf daripada membiarkan ianya menjadi dendam "kesumat"

2. Bersihkan diri & hati
Perbuatan memohon maaf perlulah ikhlas dan bukan dibuat untuk kepentingan sesuatu. Anda perlu benar-benar insaf akan kesalahan yang dilakukan dan berjanji di dalam hati bahawa anda tidak akan sesekali melakukan perbuatan yang sama terhadap orang lain. Keikhlasan anda tidak perlu diucapkan, ianya datang dari hati. Maka tidak perlu menyebut "Saya ikhlas meminta maaf daripada awak".

3. Berani kerana benar
Sekiranya anda ingin memohon maaf, perlulah berani berbuat demikian. Bak kata pepatah, berani kerana benar. Anda juga perlu berani menyatakan apa kesalahan anda dan mengaku kesalahan anda adalah lebih baik. Jauh disudut hati, manusia mempunyai sifat belas ikhsan yang tinggi, sifat ingin memaafkan orang lain. Namun seperti lazimnya, ego adalah segala-galanya. 

4. Usah berjanji
Usah berjanji ketika anda ingin memohon maaf. Usah mengatakan "saya berjanji, sekiranya awak memaafkan saya, saya akan....". Perbuatan berikut akan menyebabkan anda melakukan kesalahan yang lain sekiranya anda memungkiri janji. Jadi, usah tabur janji atas apa yang tidak mampu anda buat. Tetapi kalau bejanji seperti ini mungkin boleh dipraktikkan " kalau awak maafkan saya, saya belanja awak makan" (harap-harap orang itu tidak makan lagi.. Hehe).

5. Waktu yang sesuai
Pilih waktu-waktu yang sesuai untuk memulakan permohonan maaf anda. Seelok-eloknya, waktu pagi adalah lebih baik kerana waktu itu adalah waktu yang paling segar bagi setiap orang. Waktu yang sesuai penting untuk memberi keselesaan kepada orang yang ingin maafkan anda.

6. Cepat lebih berkesan.
Permohonan maaf adalah lebih baik dilakukan sejurus anda melakukan kesalahan. Tidak perlu menunggu terlalu lama, takut-takut bila terperap lama, makin simpan makin berbau. Jadi segera memohon maaf setiap kali anda melakukan kesalahan.

7. Tingkatkan komunikasi
Selepas anda memohon maaf, keraplah berkomunikasi dengan orang itu bagi menunjukkan yang anda benar-benar ikhlas memohon maaf. 

Semua tips diatas mungkin berkesan, namun diakui untuk melafazkan "Saya minta maaf" adalah terlalu sukar. Cuba dan usahalah ke arah kebaikkan kerana dimana ada kebaikkan disitu dilimpahi rahmat Tuhan. Insya Allah.

2 Comments

meminta maaf dan memohon maaf terlalu senang di lafazkan bagi setiap manusia..sbbnya terlajak perahu leh di undur terlajak kata leh menguris hati seorg manusia......

Mungkin lebih baik meminta maaf walaupun permohonan kita ditolak.

Secebis mutiara kata adalah cermin diri, seribu bahasa lambang peribadi. Paku dulang paku gelas, tinggalkan jejak untuk dibalas.
EmoticonEmoticon