Tips menjadi pemimpin yang baik

Petua menjadi pemimpin, kepimpinan terbaik, Good LeadershipSesekali ketika anda berada di peringkat tertinggi sesebuah organisasi atau syarikat, anda perlu menilai tahap kepimpinan diri sendiri sama ada menjadi pemimpin yang baik atau paling dibenci di peringkat bawahan. Tentunya semua pemimpin tidak mahu dikenang sebagai seorang pemimpin yang teruk, paling dibenci dan kejam.

Seorang pemimpin atau ketua menjadi nadi penggerak kepada kejayaan sesebuah organisasi yang bertanggungjawab memimpin pekerja bawahannya. Kadangkala ada juga pemimpin yang menjadi penasihat kepada segala permasalahan peribadi pekerja bawahannya. Keharmonian rukun pekerja tidak hanya tertakluk atas dasar perintah dan setuju sahaja. Seelok-eloknya, ada beberapa perkara yang boleh dipraktikkan oleh pemimpin untuk menjadi seorang pemimpin yang disegani.

Adil - Seorang pemimpin yang adil amatlah diperlukan dalam sesebuah organisasi. Apa yang lebih kepada seorang pekerja, orang lain juga berhak mendapatkannya. Bukanlah layanan "istimewa" yang diperlukan oleh seorang pekerja. Namun setiap keputusan atau arahan perlulah adil dan saksama kepada semua pekerja.
 
Sedia mendengar - Jangan pula apabila anda telah menjadi pemimpin ada memandang remeh pandangan pekerja bawahan. Sesekali dengarlah pandangan mereka kerana pekerja bawahan ini lah yang menggerakkan segala polisi yang ditetapkan organisasi. Anda sebagai pemimpin juga tidak bagus sekiranya mendengar pandangan sesetengah individu sahaja kerana mungkin individu itu seorang kaki bodek yang cemerlang. 

Menjadi contoh - Jika anda mahukan pekerja anda menjadi seperti apa yang anda mahukan, mulakan dengan diri anda terlebih dahulu. Bak kata pepatah, cakap serupa bikin. Jangan pula apa yang anda hendakkan tidak seiring dengan apa yang anda lakukan. 

Memberi sokongan - Sokongan moral adalah sesuatu yang amat diperlukan oleh pekerja bawahan yang sedang menghadapi masalah. Sedikit panduan, "Kadangkala senyuman yang dipaparkan oleh pekerja tidak mencerminkan situasi dirinya yang sebenar". Jika seorang pemimpin yang benar-benar bagus pasti dapat menghidu permasalahan yang sedang dihadapi pekerjanya. Ianya perlu dilakukan agar suasana di tempat kerja menjadi lebih produktif. 

Integriti - Maksud integriti mengikut Kamus Dwibahasa DBP, 1985, ialah kejujuran dan ketulusan; kesempurnaan; keutuhan. Integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai, boleh pegang cakapnya dan lain-lain. Amatlah diharapkan oleh setiap pekerja bahawa ketuanya adalah seorang yang berintegriti dalam membuat keputusan. Sebagai contoh, ketua tidak mahu pekerja mengambil rasuah, tetapi beliau berbuat sebaliknya. Bagi pandangan pekerja, "bos boleh buat, takkan pekerja tidak boleh". 

Komunikasi yang bagus - Pemimpin yang bagus perlu sesekali mendengar pandangan pekerja bawahannya. Walau setinggi mana taraf pendidikan yang diperolehi, tidak menjamin seorang pemimpin itu membuat tindakan 100% betul dan disukai pekerja bawahannya. Untuk menjadi lebih baik, diam, dengar dan buat keputusan. Dengar pandangan kebanyakkan pekerja bawahan dan bukan dengar cakap-cakap kaki kipas bos sahaja.

Setiap pekerja menghabiskan masa yang lebih lama ketika berada di tempat kerja berbanding di rumah. Ibarat "rumah kedua" bagi pekerja, tentunya mereka mengharapkan suasana tempat kerja yang kondusif, mesra dan menggembirakan. Jadi tugas setiap pemimpin mewujudkan suasana itu kerana anda mempunyai kuasa untuk melakukannya. Jangan disebabkan anda mempunyai sifat yang menjengkelkan, anda mengheret sama setiap pekerja untuk menjadi jengkel seperti anda.

Seorang pemimpin yang bagus adalah seorang pemimpin yang mampu melahirkan beberapa orang pemimpin yang lain. Dan seorang pemimpin yang dihormati adalah seorang pemimpin yang telah meninggalkan sesuatu yang baik untuk diingati.

Secebis mutiara kata adalah cermin diri, seribu bahasa lambang peribadi. Paku dulang paku gelas, tinggalkan jejak untuk dibalas.
EmoticonEmoticon