Tips mengambil hati ibu bapa dan mertua

Seringkali kita dengar, pasangan yang sudah berkahwin mengalami masalah perhubungan dengan ibu bapa atau ibu bapa mertua. Permasalahan biasanya bermula dari sebab yang kecil yang fikiran kita ianya tidak perlu diperbesar-besarkan. Perasaan kekok atau tidak tahu bagaimana memulihkan hubungan itu mengusutkan lagi situasi selain tidak bertindak dan hanya mendiamkan diri sahaja akan memburukkan lagi keadaan yang sedia ada.

Mengambil hati ibu bapa dan mertua sangat penting untuk kebahagiaan berkekalan dunia dan akhirat. Sekecil-kecil nikmat kebahagiaan berumahtangga adalah mendengar seorang anak kecil yang memanggil seorang lelaki dan wanita dengan panggilan atuk dan nenek lalu membuatkan kedua mereka berasa gembira. Jika masalah perhubungan yang retak berlarutan, maka terlerailah ikatan. Tiada panggilan mesra atuk dan nenek bakal dinikmati oleh anak-anak kita.

Jadi bagaimana untuk mengambil hati ibu bapa dan mertua anda untuk menjamin syurga adalah milik kita? [Senarai 8 tingkat syurga]

Kurangkan beban tanggungjawab mereka - Setelah sekian lama, ibu bapa dan mertua telah melaksanakan tanggungjawab mereka dalam memelihara anda dan pasangan. Makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Itulah tanggungjawab mereka. Kini mereka sudah tidak segagah dahulu, maka ambillah sedikit tanggungjawab daripada mereka. 

Tingkatkan komunikasi positif - Berbicaralah menggunakan lidah dengan perkara-perkara yang positif, saling menyokong dan menenangkan jiwa kedua ibu bapa mahupun mertua. Usah mengundang bicara yang berbalut hasad dengki, ketidakpuashatian sesama adik beradik dan sebagainya. Setiap patah kata yang negatif bakal mencerminkan siapa diri anda yang sebenarnya.

Jangan membeban jika tidak mampu membantu - Masa tua adalah masa rehat bagi kedua ibu bapa dan mertua. Masa yang tinggal kini sepatutnya dirai oleh anak-anak dan menantu untuk mencipta kenangan sebelum mereka dijemput Ilahi. Jangan pernah menyesal merasa susah kerana menunaikan hajat dan impian mereka sewaktu mereka ada. Menyesallah kerana anda tidak berbuat apa-apa yang membahagiakan mereka. Jadi jika tidak mampu untuk membantu mereka dari segi masa, kewangan atau lain-lainnya, jangan membebankan mereka dengan apa yang anda akan lakukan.

Bahagiakan rumahtangga anda - Tiada perkara yang dapat membahagiakan ibu bapa di dunia ini selain daripada melihat rumahtangga anda bahagia. Bahagiakan rumahtangga anda maka ianya menyenangkan hati mereka. Selesaikan masalah rumahtangga anda selagi mampu dan jangan menarik kedua ibu bapa untuk terlibat dalam masalah yang boleh diselesaikan sendiri. 

Menerima teguran dan kritikan - Setiap teguran dan kritikan pasti ada asasnya. Orang tua melihat sesuatu dengan lebih luas berdasarkan pengalaman mereka hidup di dunia. Jadi jangan menolak dengan mentah apa yang ditegurnya. Sebaliknya menerima dan meminta maaf adalah lebih baik daripada bertelagah dengan pendapatnya.

Letakkan mereka ditempat tertinggi dalam hirarki keluarga - Elakkan diri anda daripada mempunyai sifat-sifat anak derhaka. Hormatilah mereka sesuai dengan kedudukannya sebagai ibu dan ayah yang pernah membesarkan mereka. Apabila anda meletakkan mereka seperti "dewa" di dunia ini nescaya budi baik anda akan terbalas juga akhirnya biarpun dahulunya mertua anda adalah mertua yang paling tidak digemari oleh mana-mana menantu kerana layanan buruknya. Perlu diingat, bahawa ibu bapa tidak melahirkan tuannya.
Allahhummaghfirli dzunubi waliwalidayya, warhamhumma kama robbayani soghiro
Maksudnya:Ya Allah, Ampunilah dosa-dosaku serta kedua ibu bapaku dan kasihanilah mereka keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di masa kecil.

Peranan dan kerjasama antara suami dan isteri dalam menentukan hala tuju perhubungannya dengan ibu, bapa dan mertua amatlah penting. Jangan jadi api atau batu api juga jarum dalam lipatan yang memburukkan lagi ikatan kekeluargaan. Memberi dan menerima dalam keadaan seimbang mampu menghadirkan sebuah keluarga yang bahagia. [Bahagiakah rumahtangga anda?].Semoga tips mengambil hati ibu bapa dan mertua dipergunakan sebaiknya untuk panduan membina sebuah keluarga dengan mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

Secebis mutiara kata adalah cermin diri, seribu bahasa lambang peribadi. Paku dulang paku gelas, tinggalkan jejak untuk dibalas.
EmoticonEmoticon