Batal ikatan pertunangan elak penceraian

Putus tunang, cara putus tunang, batal perkahwinanBertunang adalah sesuatu perkara yang sangat membahagiakan. Sudah tentu selepas saat itu, setiap pasangan sudah mula membayangkan konsep majlis perkahwinan, warna, tema, tarikh, tempahan dan banyak lagi. Bukan kerja yang mudah kerana persiapan rapi perlu dilakukan bagi memastikan setiap pelan yang dirancang berjalan dengan lancar. Namun bagaimana pula sekiranya majlis perkahwinan yang telah dirancang bakal menjadi mimpi semata-mata disebabkan pasangan dalam tempoh bertunang itu bagai sudah goyah bergelora dibadai ombak?

Tempoh bertunang tidak ada had batas waktunya. Boleh jadi 6 bulan, 1 tahun atau selama mana yang diinginkan oleh kedua-dua belah pihak. Yang paling penting, majlis perkahwinan akan dijalankan memandangkan rakan dan taulan. sanak saudara semua sudah maklum berkenaan hal pertunangan sebelum ini. Bak kata orang lama "Orang bertunang darahnya manis", banyak pesan orang dahulu berkenaan cara menghadapi tempoh waktu bertunang.

Jangan kerap berjumpa dengan bakal suami/isteri. Mengapa? Adakah kerana makin lama kita kenal, semakin kenal hati budi, benda manis akhirnya jadi masam juga? Atau timbulnya perasaan pemilikan hak mutlak mula menguasai sehinggakan perasaan cemburu buta menguasai topik bicara bila berjumpa? Perkara sebegini boleh merosakkan ikatan pertunangan. Apabila sudah mengikat tali pertunangan, timbul pula isu tidak serasi bersama pasangan. Adakah hubungan tersebut perlu diteruskan atau tidak? Apakah perlu menjaga maruah keluarga masing-masing dengan mengorbankan kesucian kasih sayang yang perlu ada pada pasangan bakal mempelai di jinjang pelamin?

Tidak semua pasangan yang menghadapi masalah dalam tempoh pertunangan. Jika menghadapi masalah yang hampir kronik dan teruk, pasangan perlu berfikir sedalam-dalamnya sama ada perlu memutuskan ikatan pertunangan atau tetap mempertahankan hubungan tersebut hingga ke alam perkahwinan. Ada beberapa perkara penting yang perlu difikirkan supaya tidak ada episod putus lagi (cerai) selepas berkahwin kerana pada masa itu adalah perkara yang sangat dibenci Allah SWT.

Membatalkan pertunangan tidak terlalu terkesan berbanding penceraian. Kerana penceraian melibatkan banyak jiwa yang akan terluka. Jika mempunyai anak, anak akan mengalami kesan yang sangat dalam. Tiada ibu atau bapa disisi semasa mendaftar di sekolah adalah episod tragis dalam psikologi anak-anak. Jadi mengapa perlu terlalu mengambil serius perkara pertunangan jika sudah tidak mampu mencapai kata putus dalam perbincangan bersama pasangan?

Andai sebelum berkahwin sudah menjadi kebiasaan perbalahan tanpa henti, jangan mengharapkan perkara yang baik akan berlaku selepas perkahwinan. Apalagi jika sewaktu tempoh bertunang sudah mula pukul memukul, maki memaki, herdik sana sini, ianya sesuatu perkara yang tidak berjalan dengan sangat baik selepas perkahwinan. Kerana perasaan hormat dan kasih sayang sudah luntur sebelum berkahwin lagi. Oleh itu jangan berfikir banyak kali jika ada niat untuk memutuskan ikatan pertunangan walau pun mendapat tentangan daripada orang lain.

Ikatan pertunangan tidak bererti kita memiliki sepenuhnya pasangan kita. Ianya adalah perjanjian persefahaman antara kedua-dua belah pihak. Mengapa diteruskan hubungan jika hati pasangan masing-masing sudah tawar hati? Jangan buang masa dengan melayan perasaan sedih atau malu jika hanya putus tunang. Mungkin ada jodoh lain yang lebih baik menunggu anda.

Ikatan pertunangan sama sahaja dengan ikatan kekasih-kekasih. Cuma bezanya ikatan pertunangan dijalankan secara beradab dan melibatkan keluarga kedua-dua belah pihak. Jadi, untuk memutuskan ikatan pertunangan, kedua-dua pasangan perlu datang menghadap kedua-dua belah keluarga dan menyatakan dengan jelas sebab mengapa perlu diteruskan hubungan jika tidak ada kata sepakat lagi. Hal ini kerana yang mahu berkahwin sehidup semati bersama bukan mereka. Anda yang akan menghabiskan banyak waktu bersama dengan suami/isteri masing-masing. Jadi mereka tidak hak untuk memaksa perkahwinan anda tetap diteruskan. Lebih baik putus tunang daripada berlaku penceraian selepas perkahwinan seperti yang disebutkan sebelum ini. [10 perkara penting selepas berkahwin]

Jika tidak ada muafakat lagi untuk berjumpa maka adalah perlu memaklumkan kepada ahli keluarga masing-masing secara lisan atau sebagainya supaya ahli keluarga tidak meletakkan apa-apa harapan yang tinggi dalam hubungan anda. Hantarkan wakil untuk memulangkan barang-barang yang perlu. Semakin lama anda membiarkan ikatan pertunangan yang bermasalah begitu sahaja, semakin jauh masa terbuang meninggalkan anda. Anggap sahaja tidak ada jodoh lagi dan tidak beruntung jika merintih sedih atas perkara yang berlaku sedangkan mungkin ada orang lain yang lebih sesuai dan layak untuk anda.

Perkahwinan bukan untuk sehari dua hari sahaja. Ianya kekal ke jannah. Jadi pertimbangan yang wajar perlu diambil kira sekiranya ikatan pertunangan sangat bermasalah antara pasangan. Dalam keadaan ekonomi yang sukar ini, apa salahnya tercalar sedikit maruah berbanding kenangan majlis perkahwinan yang megah menjadi tidak bermakna dan membuang duit sahaja. Ikatan pertunangan bukan alasan pemilikan hak milik mutlak ke atas pasangan masing-masing. Ianya perjanjian sementara.

2 Comments

Itulah bertunang memang banyak dugaannya. Kalau boleh janganlah bertunang lama-lama

Betul tu, rasanya 6 bulan hingga 1 tahun tu dah kira ok kot...

Secebis mutiara kata adalah cermin diri, seribu bahasa lambang peribadi. Paku dulang paku gelas, tinggalkan jejak untuk dibalas.
EmoticonEmoticon