Keperluan barang sekolah anak teruja

Keperluan barang sekolah anak, beg sekolah, beli barang sekolahMasa berlalu begitu pantas. Pejam mata celik mata anak sudah mula memasuki alam persekolahan semula. Saban tahun ibu bapa tentu sibuk melengkapkan keperluan asas barang persekolahan anak seperti baju, beg, kasut, stokin, alat tulis dan lain-lain lagi. Pelbagai ragam anak terpaksa ibu bapa penuhi memandangkan anak-anak kini sudah semakin terdedah dengan macam-macam jenis maklumat. Maka pengetahuan mereka juga semakin luas dan kadang kala tidak terfikir mereka mampu berfikir sejauh itu.

Pada waktu ini, adalah waktu yang sangat mengujakan mereka. Beg baru, baju sekolah baru, semua serba baru. Saya juga pernah memiliki perasaan sebegitu. Sangat teruja dan kalau boleh, tidur pun mahu pegang barang persekolahan baru. Hari-hari sebelum musim persekolahan bermula adalah waktu membelek barang-barang baru untuk menjadi topik cerita hari pertama persekolahan. Lebih lucu semua barang persekolahan mesti berkait rapat dengan cerita kartun yang mereka minati.

Tentu juga ibu bapa pernah mengalami situasi keterujaan dapat keperluan barang sekolah baru. Saya teringat dahulu, bila ibu bapa tidak membeli barang yang kita minati, timbul rasa kecewa. Biasalah perasaan kanak-kanak. Malam sebelum membeli barang, banyak berangan tentang barang yang hendak dibeli ibu bapa. Mahu yang jenis itu, mahu yang ini. Namun dahulu kita tidak menyedari betapa sukarnya ibu bapa memenuhi permintaan anak-anak. Bukan seorang, tetapi ramai anak, dengan pelbagai karenah.

Jika kita lihat sekarang, barang sekolah adalah barang dagangan yang paling menguntungkan bila tiba musimnya. Pelbagai muslihat promosi dianjurkan pasaraya memasang strategi menarik minat pelanggan datang membeli. Ianya perniagaan. Pernah juga terfikir, bagaimana pula dengan keluarga yang tidak berkemampuan. Kepada siapakah perlu ditagih meminta simpati. Tentu sahaja saya bersyukur dengan apa yang saya miliki. Alhamdulillah.

Membeli barang keperluan sekolah anak tidak perlu terlalu mahal, mempunyai daya tahan dan sedikit berkualiti untuk bertahan selama setahun persekolahan. Namun saya tetap menjangkakan pemadam, pensil dan alat tulis kecil yang lainnya tidak akan ditemui, hilang tanpa jejak pada minggu kedua persekolahan. Bukan dicuri atau sebagainya tetapi sifat 'protective' terhadap barang sendiri masih belum terbentuk sepenuhnya. Jadi tidak ada istilah mencuri bagi anak-anak berusia kecil. Jadi ibu bapa perlu bersedia mengeluarkan kos tambahan setelah sekolah telah bermula.

Walaupun ibu bapa juga menyedari keperluan barang sekolah anak adalah perkara asas biasa jika persekolahan akan bermula namun bagi anak-anak, itulah barang yang paling bernilai bagi mereka. Anak saya juga, beg Ultraman menjadi pilihan sambil menceritakan nama watak, adik beradik Ultraman dan lain-lainnya. Saya mengangguk sahaja tanda setuju. Yang adik pula, watak frozen menjadi pilihan. Jadi layan sahaja karenah mereka. Yang penting mereka bergembira. Kerana kita pernah merasa apa yang mereka rasai kini. Itulah kehidupan. 

Secebis mutiara kata adalah cermin diri, seribu bahasa lambang peribadi. Paku dulang paku gelas, tinggalkan jejak untuk dibalas.
EmoticonEmoticon