Ruang Iklan

Contoh soalan temuduga kerajaan saya

Contoh soalan temuduga kerajaan, temuduga kerajaan, interview kerajaan, contoh soalanTidak lama selepas saya menjadi pembantu klinik swasta dan kemudian menternak kambing sebab mengganggur, Alhamdulillah melalui surat yang dihantar oleh encik posmen, saya dipanggil temuduga kerja kerajaan sekitar bulan 10 Tahun 2009. Satu panggilan yang saya tidak jangka tetapi membuatkan saya tersenyum dan sangat gembira. Bukan mudah untuk diterima masuk kerja kerajaan. Walau pun hanya temuduga, rasa macam mahu buat kenduri doa selamat. Saya rasa ini semua berkat doa kambing ayah saya.

Saya membuat persediaan bagi menghadiri temuduga. Memandangkan saya tinggal di Johor dan temuduga kerajaan akan dijalankan di Putrajaya, saya perlu atur logistik sebaiknya supaya memudahkan perjalanan saya. Persiapan logistik amat penting supaya saya tiba sebelum waktu temuduga. Digalakkan tiba satu jam awal supaya tidak terburu-buru, minda berada dalam keadaan santai, mencari tempat temuduga. Pada pagi nan indah, saya berpusing-pusing di Putrajaya. Maklumlah masa itu, Waze, GPS masih belum ada lagi. Telefon bimbit saya pun guna mono ringtone.

Sebelum hari temuduga kerajaan, saya sediakan semua dokumen yang berkaitan. Tips! Pastikan semua sijil disimpan di dalam folder. Jangan simpan dalam sampul surat dan serah pada penemuduga. Wajib tolak 10 markah jika serah sijil dalam sampul surat. Be professional. Kemudian letak sijil akademik yang paling tinggi pada bahagian hadapan. Sijil sekolah rendah, tadika letak pada bahagian belakang. Sijil penyertaan sangat penting kerana salah satu soalan temuduga saya "Mengapa pentingnya awak aktif dalam persatuan, sukan dan kelab?". Jadi kaitkan jawapan dengan pengurusan masa, disiplin dan sebagainya.

Waktu saya temuduga, calon temuduga ada lebih kurang 2000 lebih orang dan yang diperlukan kira-kira 200 orang sahaja. Persaingan sangat kuat. Semua orang duduk menunggu sambil menghafal. Hafal apa? Hafal nama-nama menteri. Mana tahu sangkut soalan berkaitan kabinet kerajaan. Siapa menteri jabatan berkaitan. Tips! Pastikan anda tahu fungsi jabatan yang ingin mengambil anda bekerja. Organisasi, fungsi, objektif, visi dan lain-lain. Tidak perlu secara terperinci. Secara kasar pastikan anda tahu. Soalan temuduga saya "Awak tahu apa fungsi Jabatan ini?". Masa itu, saya jawablah apa yang saya baca dalam laman web rasmi jabatan. Hasil carian di kafe siber di pusat bandar. Kira-kira 35.0KM daripada rumah. Bayar RM3.00 sejam.

Semasa saya temuduga ada 3 orang penemuduga. Tips! Sebelum masuk bilik temuduga, ketuk dan beri salam. Serah dokumen berkaitan dan berdiri di tepi kerusi yang disediakan. Selagi mereka tidak suruh duduk jangan duduk. Jaga adab semasa menghadiri temuduga. Ada 3 orang penemuduga itu mungkin disebabkan seorang daripada JPA,SPA dan yang pasti seorang daripada Jabatan. Justeru itu, Tips! Jika tidak yakin atau tidak tahu dengan jawapan, jangan buat-buat lebih tahu. Penemuduga tanya bukan sebab mereka tidak tahu. Jangan over confident sangat dengan jawapan jika tidak pasti. Jangan pula semua soalan anda cakap tidak tahu.

Persediaan yang saya buat sangat menyeluruh. Selongkar balik nota-nota lama. Tidak ada idea berkenaan soalan apa yang bakal ditanya. Semasa temuduga kerajaan saya, soalan yang keluar adalah "Apa maksud kejituan, persis dan tepat?". Rasa macam mahu menangis. Oleh kerana terlalu lama berdampingan dengan kambing, bab definisi memang out of mind. Tapi saya gagah juga cuba menjawab dan kemudiannya diajar balik oleh penemuduga. Paling menarik semasa menunggu seisi temuduga, ada seorang perempuan keluar bilik temuduga sambil menangis teresak-esak. Seram sejuk masa itu.

Antara soalan lain yang saya dapat adalah "Ceritakan tentang diri awak". Ini soalan biasa. Tips! Jika disoal dalam Bahasa Malaysia, jawablah dalam Bahasa Malaysia. Jika disoal dalam English, jawablah dalam English. Jangan speaking English memanjang, bila ditanya dalam Bahasa Malaysia, tergagap-gagap. Kita kan orang Malaysia. Bagi saya kalau tidak pandai cakap Bahasa Malaysia, lupa kan sahaja kerja kerajaan. Berkhidmat demi rakyat, berkomunikasi dengan rakyat. Tidak semua rakyat pandai berbahasa English.

Kemudian, penemuduga akan tanya kemahiran dan pengetahuan berkaitan kerja jabatan daripada anda. Maksudnya, jika anda ditemuduga oleh Jabatan Kehakiman, tentu dia mahu anda tahu serba sedikit berkenaan kehakiman, atau Jabatan Hidupan Liar, mesti anda tahu berkaitan haiwan liar. Jika tidak, dia mesti cari pilihan calon lain. Tips! Serlahkan kelebihan dan bakat yang ada. Perkara-perkara tambah nilai dalam akademik akan meningkatkan keboleh pasaran diri anda. Maksudnya kalau anda lulusan kejuruteraan tetapi anda ada sijil bidang lain seperti OSH Safety, tentunya anda lebih bernilai daripada calon lain. Jadi buat graduan baru, jika masih belum dapat kerja, cuba ambil short course untuk menambah nilai kemahiran diri.

Perkara lain yang penting. Pakaian semasa temuduga. Jangan menonjol apa yang tidak patut. Pakai pakaian putih lebih baik atau berwarna cerah. Penampilan kemas, pertuturan jelas, posisi badan semasa duduk dengan mendada untuk tampil lebih yakin. Berkorban lebih sikit dalam setengah jam untuk kebaikan sepanjang hidup apa salahnya. Tips! Bagi penghisap rokok, jangan sesekali masuk temuduga dengan bau rokok. Awal-awal lagi sudah ditolak. Saya 'berpuasa' daripada menghisap rokok pada hari itu. Ini pesan arwah atuk saudara saya.

Mesti letih baca panjang-panjang kan? Maafkan saya. Semoga perkongsian soalan dan tips temuduga kerja kerajaan yang pernah saya lalui ini dapat membantu serba sedikit graduan baru atau bakal menghadiri temuduga dengan kerajaan. Temuduga fizikal yang dijalankan oleh pihak keselamatan seperti PDRM atau penguatkuasaan seperti JPJ, KASTAM berlainan sedikit dengan temuduga biasa. Saya tiada pengalaman berkenaan hal itu. Rezeki memang telah ditetapkan oleh Allah SWT, dan sebagai manusia kita berusaha sebaiknya. Jangan putus asa. Semoga entri ini banyak memberi manfaat kepada semua.

5 Comments

Nice tips dan cerita.. saya pun pernah menghadapi ujian temuduga spa, jadi pegawai Bomba mungkin saya dulu aktif dalam persatuan Kadet bomba sebab terpilih untuk ditemuduga.. Tapi tak dapat.. masa tu tahun 2011, Umur pun baru 18 tahun. Hahaha 😂

Dan ya betul tawaran kerja dalam kerajaan kalau dapat temuduga pun rasa nak buat kenduri dah, haha 😁

Ya, kalau bomba bagi pemeriksaan fizikal ada keperluannya seperti ukuran badan, kecergasan dan sebagainya. Kalau tak dapat ada rezeki tempat lain..

Tips yang bagus.. kadang-kadang soalannya di luar jangkaan.. memang kena bersedia.. kena rajin membaca dan ambil tahu isu semasa..

Isu semasa tu penting... Nak uji betapa aware nya kita dengan apa yang berlaku dalam negara...

Bagus tips ni. sangat membantu orang untuk pergi temuduga. Start temuduga daripada mula masuk sampai kehujung temuduga pun ada cara dia yang kita kena pelajari. Postur badan dan cara bercakap juga main peranan. good sharing! :)

Secebis mutiara kata adalah cermin diri, seribu bahasa lambang peribadi. Paku dulang paku gelas, tinggalkan jejak untuk dibalas.
EmoticonEmoticon