Ruang Iklan

Jenis ujian dalam rumahtangga

Jenis ujian selepas berumahtangga, dugaan berumahtanggaDalam kehidupan berumahtangga, pergolakan antara suami isteri pasti berlaku. Sama ada pertelingkahan kecil atau besar, ketidaksefahaman yang berlaku perlu diatasi sebaik mungkin demi mempertahankan mahligai yang terbina. Jika ada usaha untuk memperbaiki hubungan yang sedikit goyah, tentu semua masalah yang berlaku boleh diselesaikan dengan cara yang elok.

Ujian dalam rumahtangga datang dalam pelbagai cara. Bagaimana suami isteri menghadapi ujian yang datang, solusi yang hendak dilakukan perlulah mengambil kira kepentingan bersama suami isteri. Tidak boleh ada manfaat berat sebelah dan tidak adil.

Apakah jenis-jenis ujian dalam berumahtangga? Saya simpulkan beberapa dugaan yang telah berlaku dalam rumahtangga untuk bacaan dan panduan pembaca. Hal ini supaya suami isteri perlu lebih berhati-hati dan bersedia serta mengambil jalan penyelesaian segala masalah yang terbaik.

Pertama, hadirnya orang ketiga. Masalah ini bukan perkara luar biasa. Ianya masalah biasa dalam rumahtangga. Skandal di tempat kerja dan akhirnya rahsia skandal terbongkar. taat setia diuji bekas kekasih, wanita pilih suami orang, lelaki pilih isteri orang adalah perkara biasa yang kita dengar. Perkara luar jangkaan ini boleh berlaku dalam usia awal perkahwinan atau pun sebaliknya. Pasangan suami perlu sentiasa bersedia bagi menghadapi situasi tersebut jika berlaku. Ingat satu perkara, perkara besar bermula dari saat ia kecil. Bendung gejala yang mampu menimbulkan masalah berkaitan orang ketiga sejak dari awal lagi.

Kedua, perbezaan pendapat. Pada awal perkenalan memang semua nampak manis. Bila lelaki kata A, perempuan setuju, bila perempuan kata B, lelaki juga setuju. Namun perkara itu akan sedikit berubah setelah berkahwin. Lontaran pendapat masing-masing mula berlaku. Jika perkara asas dalam perbincangan seperti dalam entri tips berbincang tidak dilakukan dengan baik, maka percanggahan pendapat boleh berlaku. Pasangan suami isteri perlu mengawal mood perbincangan supaya tidak menjadi medan perbalahan yang mengakibatkan penceraian dan sebagainya.

Ketiga, harta. Sebelum perkahwinan adalah waktu bercinta. Waktu bercinta adalah saat memiliki dunia. Maka semuanya adalah 'coklat' bagi pasangan kekasih. Sedap, manis dan enak sahaja. Selepas mendirikan rumahtangga, jika masalah harta ini terjadi, perkara buruk mungkin akan berlaku. Sama ada kewangan semakin kukuh atau kewangan tidak stabil adalah dugaan yang perlu ditempuh bersama. Kita boleh lihat bagaimana isteri ditinggalkan suami kerana kemiskinan, atau isteri mengikut lelaki kaya. Oleh itu, rancanglah sebaiknya berkenaan kewangan dan jika tidak mampu, lakukan sahaja perkara asas dalam majlis perkahwinan iaitu akad dan nikah. Tidak perlu meletakkan wang hantaran yang terlalu tinggi sehingga berlaku masalah selepas majlis perkahwinan.

Keempat, kesihatan. Ujian Allah SWT berkenaan kesihatan tidak dapat diketahui bila dan asbabnya. Pada mulanya mungkin sihat, kemudian diuji dengan sakit atau kesan daripada kemalangan dan sebagainya. Pada masa inilah dugaan menguji kesetiaan sehidup semati, susah senang bersama pasangan mula memainkan peranan. Persediaan boleh dilakukan dengan membeli polisi insurans atau menyimpan wang sekiranya berlaku masalah kesihatan supaya tidak menjadi beban yang tidak sanggup dipikul oleh pasangan masing-masing. Apa yang pernah kita lihat di Bersamamu TV3, ada kes suami isteri tetap bersama apabila diuji dengan sakit, ada juga hilang tanpa berita.

Kelima, keluarga mertua. Jika suka lihat drama melayu di televisyen, kisah-kisah yang diceritakan sedikit sebanyak akan berlaku. Bezanya tidak semua orang Malaysia kaya raya sahaja. Abaikan tentang kekayaan, saham, syarikat, pangkat Tan Sri, Datin seperti dalam drama tersebut. Tetapi mungkin ada keluarga mertua yang mungkin memberi masalah, ada yang baik, ada yang tidak menyukai anda. Jadi sebelum berkahwin, belajarlah apa yang patut seperti entri tips mengambil hati mertua yang pernah saya kongsikan sebelum ini.

5 jenis ujian dalam rumahtangga yang mungkin berlaku kepada pasangan suami isteri seperti di atas adalah perkara yang biasa dalam rumahtangga. Oleh itu bersedia untuk menghadapai dugaan yang bakal mendatang. Sebaiknya sentiasa setia bersama pasangan masing-masing untuk menempuhi segala rintangan. Ujian datang bukan untuk menyusahkan kita sebagai hambaNya tetapi ujian kecil ini adalah saat kita menguji kemampuan survival dalam rumahtangga. Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

2 Comments

Semoga rumahtangga kita tidak diuji dengan gejala2 tersebut.

Harapannya macam tu lah... Kalau diuji sekalipun harap suami isteri hadapi bersama...

Secebis mutiara kata adalah cermin diri, seribu bahasa lambang peribadi. Paku dulang paku gelas, tinggalkan jejak untuk dibalas.
EmoticonEmoticon