Kerja klinik atau restoren

Kerja pembantu klinik, bekerja di restoren, Apa yang saya coretkan ini mungkin menimbulkan kemarahan bekas majikan saya. Namun ianya adalah pengalaman saya. Saya seboleh-bolehnya tidak akan mengaitkan nama bekas majikan dan tempat di mana saya bekerja. Cuma hanya ada segelintir kalangan rakan-rakan saya sahaja mengetahui dimana tempat saya bekerja. Apa yang saya kongsikan kepada pembaca adalah realiti alam pekerjaan dan ambillah pengajaran daripadanya.

Bermula daripada April Tahun 2008 sehingga April 2009 saya bekerja sebagai pembantu klinik swasta. Pada mulanya bergaji RM500, kemudian dinaikkan RM1050 dan yang terakhir RM1250. Bab duit memang bos saya tidak kedekut. Dia akan cuba memberikan yang terbaik kepada pekerjanya. Tempat tinggal disediakan, pengangkutan juga dan makan, memang kerap kali dia belanja pekerjanya makan. Itu adalah sisi positif pekerjaan saya sebelum ini.

Mana-mana kerjaya tentu ada cabaran yang tersendiri. Begitu juga dengan apa yang saya lalui. Mula bekerja di klinik pada jam 7.30 pagi sehingga jam 1.00 petang, kemudian rehat sehingga jam 5.00 petang dan bersambung semula sehingga klinik menutup operasi sekitar jam 10.00 atau 1.00 malam. Sudah habis? Belum. Kerjaya di restoren pula bermula setelah bekas majikan membuka operasi kedai makan berdekatan klinik. 

Saya akan membuat closing akaun di restoren pula. Sehingga selesai dan kebiasaannya tamat pada pukul 12.00 atau 12.30 malam baru selesai. Pengalaman baru dan saya dapat melihat bagaimana operasi sebuah restoren berjalan. Jika anda bukan hati yang cekal, lupakan bekerja di restoren. Karenah pelanggan di restoren lagi cerewet daripada ragam pelanggan di klinik. Mengapa? Sebab bila orang sedang lapar, dan mereka tidak berpuas hati dengan makanan yang dipesan, saya rasa semua orang akan hilang selera. Kejayaan sebuah kedai makan terletak pada pengurusan operasi (mengambil pesanan, menghantar pesanan dan mengemaskan meja), kualiti makanan dan tukang masak. 

Mengapa tukang masak penting? Sebab makanan di masak oleh tukang masak dan dimakan oleh pelanggan. Mudah. Saya memahami pada permulaan operasi restoren bekas majikan, beliau agak bergelut dengan semua ini. Bukan satu kerja mudah untuk beliau menguruskan perniagaan yang bukan bidang kepakarannya. Namun apa yang saya lihat kini, restoren tersebut telah mengalami banyak perubahan dan nampak berjalan dengan baik. Alhamdulillah. Jatuh sekali bukan penyebab beliau terus jatuh. Tahniah.

Setelah lama saya bekerja saya merasakan sesuatu yang tidak lengkap dalam hidup saya. Bukan kekasih atau isteri. Agak lama juga saya memikirkan perkara tersebut. Sampai bila saya akan bekerja bersama bekas majikan saya. Saya perlu cari satu kerjaya yang lebih stabil demi meneruskan hidup saya. Mempunyai slip gaji, gaji yang tetap dan jaminan masa hadapan saya. Oleh itu saya mula bergerak mencari kerja baru dalam diam tanpa pengetahuan bekas majikan saya. Ini biasa bagi semua pekerja. Memikirkan apa yang patut dilakukan dalam hidup. Pekerja datang dan pergi.

Lagipun terus terang saya beritahu tubuh saya tidak dapat menahan bebanan kerja di klinik dan di restoren. Saya bekerja di klinik dan restoren pada hari Isnin hingga Ahad dengan jam bekerja yang saya makluman tadi. Ianya keperluan memandangkan klinik perlu sentiasa bersedia merawat pesakit. Trend penyakit dukar diramal. Ada musim demam, musim jatuh bangunan, musim kemalangan. Saya berpandangan pada satu hari, saya perlu meneruskan perjalanan hidup saya. Saya perlu meninggalkan teman-teman sekerja saya. Saya perlu mengkhianati kesetiaan kepada bekas majikan saya.

Secebis mutiara kata adalah cermin diri, seribu bahasa lambang peribadi. Paku dulang paku gelas, tinggalkan jejak untuk dibalas.
EmoticonEmoticon