Ruang Iklan

Menilai faktor risiko menternak kambing

Cara ternak kambing, cara bela kambing, harga pasaran kambing, jual beli kambingPada entri sebelum ini, menternak kambing sebab menganggur telah saya jelaskan bagaimana saya mula terjebak dalam aktiviti penternakan haiwan. Menternak atau membela haiwan bagi saya terma yang sama. Menternak haiwan seperti ayam, kambing, lembu atau ikan boleh menjana pendapatan yang sangat lumayan. Sesiapa pun boleh menjadi penternak berjaya dan terbukti segelintir golongan penternak yang berjaya bukan hanya melibatkan graduan siswazah malahan mereka yang tidak memiliki tahap pendidikan tinggi.

Setiap perniagaan tentu perlu berhadapan risikonya tersendiri. Pada entri kali ini, saya akan cuba berkongsi penilaian faktor risiko dalam penternakan kambing untuk panduan pembaca yang mahu melibatkan diri dalam aktiviti penternakan kambing. Perkongsian ini adalah berdasarkan pengalaman saya dalam bidang penternakan dan sekiranya bermanfaat, gunakan ia agar memberi input yang positif buat semua.

Beberapa penilaian faktor dan risiko penternakan kambing cuba saya kelaskan dengan ringkas supaya mampu meningkatkan pemahaman berkenaan selok belok penternakan. Terdapat 5 faktor yang perlu dirancang sebaiknya seperti modal perniagaan, lokasi kandang, reka bentuk kandang, keselamatan kambing dan pemilihan baka kambing yang sesuai.

Perkara asas sebelum memulakan penternakan kambing adalah modal perniagaan. Tiada perniagaan yang tidak memerlukan modal sama ada kecil atau besar. Berapa banyak modal perlu disuntik dalam perniagaan bergantung kepada saiz ternakan. Jika sasaran ternakan sebagai hobi mungkin memerlukan modal yang sangat rendah manakala sebaliknya jika sasaran menjadi pembekal baka kambing, daging kambing segar, baja organik dan sebagainya. Lihat contoh pengiraan seperti gambarajah dengan mengambil kira saiz ternakan minima sebagai permulaan perniagaan.

Cara ternak kambing, cara bela kambing, harga pasaran kambing, jual beli kambing

Modal yang diperlukan bergantung kepada saiz ternakan. Sebagai contoh: Modal permulaan bagi 2 ekor kambing (jantan dan betina) manakala kos pembinaan kandang kambing sangat penting kerana kambing tidak sesuai ditambat di tepi rumah. Untuk makluman harga induk kambing adalah berbeza bagi setiap jenis baka kambing sama ada baka tulen atau baka kacukan. Harga induk kambing kacukan mampu mencecah RM500.00 hingga RM1000.00 ketika saya masih berada dalam bidang penternakan kambing suatu masa dahulu.

Lokasi kandang kambing perlulah sesuai bagi menggalakkan perkembangan tumbesaran kambing. Apakah ciri-ciri lokasi yang sesuai? Lokasi yang sesuai tentulah bukan kawasan bencana alam seperti banjir. Sekiranya mempunyai ladang yang kerap dilanda banjir, ianya bukan sahaja mendatangkan kerugian tetapi membahayakan nyawa pemilik kandang kambing sekiranya cuba menyelamatkan kambing ketika banjir melanda. Lokasi kandang yang terlalu berhampiran dengan kawasan perumahan juga tidak digalakkan sebenarnya. Bukan sahaja bau kambing mungkin tidak disenangi jiran, tetapi kambing juga kuat mengembek pada masa-masa tertentu. Jika mengembek pada waktu tengah malam tentu mengganggu waktu tidur jiran. Jika bernasib baik, kambing-kambing tersebut panjang umur.

Reka bentuk kandang kambing begitu banyak dikongsikan oleh pengusaha ternakan kambing. Walau bagaimanapun konsep asas pembinaan kandang kambing adalah mempunyai ketinggian kandang yang cukup untuk mengelakkan ditenggelami banjir. Ianya juga memudahkan kerja pembersihan tahi kambing. Jika terlalu rendah, anda perlu membongkok dikhuatiri lama-kelamaan boleh sakit pinggang. Untuk rekaan lebih inovatif, pembinaan lantai bawah kandang dibina condong supaya tahi kambing terus terkumpul pada satu bahagian sisi sahaja.

Cara ternak kambing, cara bela kambing, harga pasaran kambing, jual beli kambing

Kawasan pengasingan bagi induk kambing dan anak perlu disediakan termasuk kandang berasingan (partition) bagi ibu kambing yang sedang bunting. Hal ini penting bagi mengelakkan anak kambing lahir hasil hubungan anak-ibu atau ibu kambing bunting keguguran 'diserang' kali kedua. Kambing perlu kandang yang memiliki pengudaraan dan pencahayaan yang baik. Kandang tidak boleh terlalu tertutup kerana cahaya matahari boleh membunuh kuman, bakteria yang terdapat dalam kandang. Penghadang tepi jangan terlalu rendah. Kandang yang baik adalah kandang yang mempunyai sistem tempat makan dan minum. Tempat di mana dedak kambing dan rumput serta air dapat disediakan. Garam ternakan sebagai zat makanan tambahan untuk kambing juga boleh digantungkan.

Faktor keselamatan adalah yang paling kritikal bagi saya. Penat lelah anda berusaha mengusahakan kambing, hanya dengan satu malam, ternakan boleh lenyap daripada kandang. Lebih-lebih lagi apabila tiba musim perayaan. Apakah pilihan yang ada? Bela anjing peliharaan atau pasang CCTV. Jika berkemampuan, boleh meletakkan rumah pekerja berdekatan kandang. Pemasangan pagar sekeliling kandang juga boleh diikhtiarkan. Namanya juga pencuri. Pasang sistem apa pun tetap tembus juga. Pengusaha ternakan kambing dalam skala ternakan besar biasanya tidak menghadapi masalah kerana mengupah pekerja buruh untuk tinggal berdekatan atau didalam kawasan kandang kambing. Bagi skala ternakan kecil, fikirkan langkah keselamatan yang sesuai dalam pelan ternakan anda. Selain itu, berserah kepada Allah SWT.

Pemilihan baka kambing perlu disesuaikan dengan iklim di negara ini. Terdapat pelbagai jenis baka kambing yang boleh dibeli di pasaran. Kambing jenis Katjang, Jamnapari, Anglo-Nubian, Boer dan Toggenburg adalah baka yang biasa terdapat di pasaran negara ini. Walau bagaimanapun, produk baka tulen sangat terhad dan mahal. Setiap baka mempunyai ciri-ciri kebolehupayaan berbeza untuk terus hidup. Sebelum ini bapa saya membeli baka jenis Kambing Boer dan Jamnapari sebagai baka pilihan. Bagi saya baka Boer sangat sesuai dan tahan lasak dengan keadaan cuaca hujan dan panas.

Mengapa ada peribahasa kambing takut hujan? Sebenarnya kambing mudah alah kepada kelembapan dan kawasan berair. Kaki kambing mudah terkena penyakit jika selalu memijak kawasan berair. Makan rumput yang basah, baru diracun juga tidak digalakkan. Oleh itu, pada hari hujan, jangan lepaskan kambing daripada kandang. Memakan rumput dari jenis yang sama sahaja juga tidak membantu tumbesaran kambing yang sihat. Saya pernah beri rumput jenis rumput Israel (Asystasia Gangetica) untuk kambing. Kemudian kena marah dengan ayah saya sebab kambing jika hanya makan rumput Israel, perut kambing cepat nampak penuh dan bulat tetapi kosong dan kembung. Rumput lembu yang dikisar boleh dijadikan pilihan jika berkemampuan membeli mesin pengisar rumput.

Pengalaman membela kambing sangat seronok bagi saya. Ianya mengajar kita untuk sentiasa bersabar dan menyedari bahawa di dunia ini bukan sahaja manusia mahu hidup tetapi ada hamba Nya yang lain. Semoga sesiapa yang ingin memulakan perniagaan kambing, teruskan usaha anda dan jangan berputus asa. 'Bersahabatlah' dengan kambing jika ingin cepat serasi dengan kambing. InsyaAllah perniagaan anda akan berjaya.

6 Comments

Dulu2 ayah pernah menternak lembu. Tapi tak banyak dalam 2 ekor je.. Kadang2 rasa minat jugak nak menternak lembu atau kambing..

Kambing harga dah mahal, kalau ada peluang boleh buat side income tu...

masak kecil dulu abah sy pernah bela ayam, seronok tengok walau tak banyak. Sekarang ni kalau ada modal ternak lembu, kambing mmg boleh buat duit rasanya sebab harga semakin mahal..

MIL sy ada bela kambing, skg dah jual kot rasanya.. huhu
done follow sini :)

Betul tu, bila tengok gelagat haiwan peliharaan memang menyeronokkan...

Terima kasih Intan Saffyna... Hebat MIL bela kambing... Asal ada kemahuan kan...

Secebis mutiara kata adalah cermin diri, seribu bahasa lambang peribadi. Paku dulang paku gelas, tinggalkan jejak untuk dibalas.
EmoticonEmoticon