Orang perempuan dan drama melayu

bilalelakiberbicara.com, drama melayu, drama televisyen, pelakon dramaApabila drama melayu bermula jam 7.00 petang, orang perempuan sudah siap sedia pegang remote televisyen. Cuba sesekali orang lelaki sorok remote dan tukar channel lain. Memang satu malam merajuk sambil mulut muncung ke depan. Tidak hairanlah mengapa penyiar televisyen umum jumlah penonton berjuta-juta bagi satu drama. Slot drama jam 7.00 petang adalah waktu masa premium bagi penyiar televisyen mendapatkan keuntungan berlipat ganda melalui penyiaran iklan selang masa antara drama melayu tempatan.

Rasanya slot drama disiar bersambung-sambung selepas tamat satu cerita. Lepas habis satu drama, muncul pula drama lain. Dari Pilot, Wedding Planner, atau duda, handsome dan sebagainya, semua kerjaya boleh dijadikan tajuk cerita. Saya bukan ingin mengetengahkan tentang tajuk drama atau mengapa mereka memilih tajuk sedemikian, tetapi apa yang saya ingin tuliskan di sini adalah kenapa orang perempuan begitu menunggu drama-drama sedemikian. Sila abaikan peminat drama dikalangan lelaki.

Masa rehat orang perempuan. Dari awal subuh orang perempuan sudah mula bekerja biarpun menjadi suri rumah. Buat sarapan, siapkan anak-anak ke sekolah, siapkan diri untuk bekerja, sediakan keperluan suami dan mengemas rumah. Belum lagi cuci baju, masak tengahari dan petang. Masa bekerja seorang suri rumah sama waktu bekerja bagi suami. Jadi waktu jam 7.00 petang adalah waktu rehat bagi mereka. Oleh sebab itu penyiar televisyen memilih 'waktu' rehat bagi orang perempuan untuk mendapatkan keuntungan melalui penyiaran iklan.

Pelakon lelaki yang agak kacak. Mungkin ini salah satu penyebab mengapa krew produksi memilih pelakon-pelakon baru yang sedang meningkat naik dan memiliki pakej lelaki terkacak serta berpotensi menarik perhatian orang perempuan untuk menonton drama. Jika memilih lelaki berjerawat, gemuk, atau tidak handsome, mungkin perlu memilih tajuk yang sesuai dengan watak pelakon utama lelaki seperti "Kekasihku gemuk hitam" atau "Suamiku berjerawat".

Pemilihan lagu yang sesuai. Semua drama melayu jam 7.00 petang mempunyai lagu OST yang dapat membuai perasaan orang perempuan dalam menghayati drama tersebut. Jika lagu-lagu ciptaan komposer terpilih menjadi lagu OST sesebuah drama, harapan untuk trending adalah tinggi. Tanpa irama dan lagu, drama tidak menjadi satu.

Jalan cerita yang membuaikan. Jalan cerita drama melayu semua lebih kurang sahaja. Orang kaya, ada saham, syarikat besar, rumah besar, kereta mewah, pakaian smart, makan di restoren mewah dan mengisahkan percintaan antara dua watak serta kehadiran orang jahat (ketiga). Kemudian dapat mak atau mertua tidak restu dan sebagainya. Jalan cerita adalah berkait tentang impian dalam mimpi, sedikit realiti kehidupan dan semua orang mempunyai impian yang sama. Mendambakan kekasih yang sempurna atau kehidupan yang mewah, cuma tidak mengharapkan onak dan duri dalam perhubungan.

Tidak menjadi kesalahan bagi saya jika orang perempuan ingin menonton drama melayu tempatan. Hidup adalah pilihan sendiri andai itu adalah waktu yang dipinta sebagai penghargaan setelah berpenat lelah seharian bekerja. Cuma jangan bandingkan kekasih atau suami dengan Fattah Amin, memang jauh panggang dari api. Suami cemburu buta. Suami adalah terbaik, Fattah Amin adalah pelakon terbaik.

4 Comments

Waktu yang sepatutnya kita mengadapNya,
tetapi berjuta2 menghadap skrin tv.

Setuju... Dan mereka pula tidak merasa dosa menyiarkan pada waktu tersebut demi keuntungan...

Bukan wanita je, lelaki pun suka tengok drama pukul 7 ni. Huhuhu, rumah saya dah berhabuk tv tu tak terbuka, astro pun takde, hahaha, tv tak laku kat rumah saya......sebab........ada.....internet. :P

Lelaki tengok sebab perempuan tengok kot... (Sedapkan hati..) Haha...

Secebis mutiara kata adalah cermin diri, seribu bahasa lambang peribadi. Paku dulang paku gelas, tinggalkan jejak untuk dibalas.
EmoticonEmoticon