Perubahan kemajuan teknologi telefon

Kemajuan teknologi telefon pintar, telefon jenama nokia, jenama telefon terbaikSewaktu kecil ayah saya memasang telefon rumah daripada Telekom. Nombornya juga saya masih ingat kerana sering cuba mengingatinya bagi tujuan kecemasan. 07-7863**5. Masa itu rasanya umur sekitar darjah 4 atau 5. Masa kecil, bila ada telefon rumah, mulalah tanya kawan-kawan di sekolah. Salin dalam buku nota hutang 555. Memang panjang senarai nombor telefon kawan-kawan. Bila tinggal berjauhan, telefon awam menjadi pilihan. Yang penting ada duit syiling dan buku telefon. Sekarang mahu jumpa telefon awam yang masih elok, memang boleh kira dengan tangan. Walhal bagi tujuan kecemasan, ianya penting.

Semasa di sekolah menengah, ada juga kawan mampu bawa telefon ke sekolah. Rasa macam ajaib dan terkesima masa itu. Nak jumpa orang yang bawa telefon bimbit memang susah. Paling sakit hati, bila kena beratur lama tunggu orang 'bergayut' di telefon awam. Siap ada senarai menunggu lagi, lepas ini siapa dan selepas itu siapa. Biasalah bila duduk asrama, kebenaran menelefon bukan boleh selalu. Pada waktu tertentu sahaja.

Bila masuk universiti, dapat pinjaman, beli telefon. Memang teruja sangat. Jenama Nokia 3210. Masa itu, nokia kira sangat popular. Sambil bawa motorsikal dengan selamba boleh menaip mesej. Tidak perlu lihat skrin langsung. Harga sekitar RM450.00. Nokia 3210 barang berharga pada waktu itu. Di kolej kerap hilang kena curi. Sebab bila jual balik mampu memperolehi sekitar RM100.00. Telefon saya juga pernah jadi mangsa. Paling menarik, bila ada telefon nokia itu, pergi kedai buku beli buku nada dering. Bunyi mono ringtone. Tet, tet, tet bunyinya. Budak sekarang mana rasa semua itu. Walaupun jatuh dari tingkat 3 masih boleh guna lagi. Itulah Nokia.

Ada sekali sewaktu menunggu di perhentian bas, ada dengar bunyi telefon. Toleh kanan dan toleh kiri. Belum ada sesiapa jawab telefon. Selepas terlalu lama telefon berbunyi, seorang pelajar kolej perempuan jawab telefon. "Mak ai, besar betul telefon dia". Saya tergelak-gelak tanpa suara. Telefon ATUR rupanya. Memang besar. Kalau buat baling pencuri, boleh patah rahang pencuri itu.

Pada masa ini, telefon datang dengan teknologi telefon pintar yang berbeza-beza. Saban tahun perubahan kemajuan teknologi telefon semakin berkembang pantas. Pasaran telefon juga semakin meluas. Boleh dikatakan setiap manusia mempunyai telefon bimbit bagi tujuan perhubungan. Dahulu pemilikan telefon sekadar alat perhubungan bagi orang dewasa. Kini, budak sekolah rendah juga sudah mampu memiliki telefon. Pelbagai alasan diberikan ibu bapa untuk beri anak kecil telefon bimbit. Kadang-kadang saya tidak mampu menguasai aplikasi telefon yang terkini dengan lebih baik berbanding mereka. Rasa diri sudah tua pula. Ketinggalan zaman.

Bila saya fikir tentang kemajuan teknologi telefon mudah alih, begitu rasanya apa yang dirasakan oleh orang yang lebih tua daripada saya. Apa yang mereka lalui, lebih luas pemandangan dari zaman ke zaman, maka lebih layak mereka begitu berpengalaman. Pengalaman tidak boleh dijual beli. Walaupun mereka nampak kolot pada bahagian tertentu, pada perkara tertentu, mereka lebih terkehadapan.

Inilah dinamakan kehidupan yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman. Mengambil contoh perubahan kemajuan teknologi telefon. Semakin ianya berteknologi canggih tetapi kurang mampu bertahan lama. Jangka hayat telefon tidak panjang. Paling lama 2-3 tahun. Begitu juga dengan kaitannya dengan kehidupan generasi sekarang. Hidup dengan begitu banyak pendedahan teknologi canggih. Kadangkala beri kebaikan dan keburukan. Kelebihan juga kekurangan. Semoga mereka mampu bertahan dalam kehidupan yang semakin mencabar ini. Pesanan buat anak-anakku yang tersayang.

6 Comments

Mcm mana pun masih belum sepenuhnya setuju anak2 kecil diberi telefon bimbit. Huhuu

Tu la kan... Walau saya tak bagi mereka ulang kali nak pegang handphone... Nanti bila dah pegang takut leka...

Telefon legend owh.. saya pun pernah pakai.. masa tu hanya bila sudah berkerja barulah ada telefon bimbit.. tapi sekarang dah makin canggih dan meluas kegunaannya.. bukan sekadar telefon dan mesej.. Macam-macam boleh dibuat dengan telefon..

Yup.. memang legend.. Yang penting sudah bekerja baru pakai handphone kan... Bukan minta handphone walau belum bekerja ye tak...

dulu phone 3310 buat main game snake tu je hahaha. sekarang ni budak-budak sekolah pun dah ada yang pakai iphone. cikgu pun malu nak keluarkan phone sendiri.

Betul tu.. dah la telefon biasa, lepas tu casing dah buruk pulak tu kan... tapi yang iphone ni bila tanya topup camna, mesti mak bapak topupkan... hehe

Secebis mutiara kata adalah cermin diri, seribu bahasa lambang peribadi. Paku dulang paku gelas, tinggalkan jejak untuk dibalas.
EmoticonEmoticon