Buat produk kosmetik jenama sendiri

Buat produk kosmetik jenama sendiri| Rentetan kisah seorang blogger disaman oleh syarikat kosmetik baru-baru ini, saya berminat untuk menyentuh sesuatu berkenaan produk kosmetik. Bukan mengulas berkenaan apa yang terjadi secara spesifik terhadap kes tersebut tetapi secara umumnya apa yang perlu kita tahu tentang buat produk kosmetik jenama sendiri. Pertumbuhan produk baru kosmetik sangat cepat dan pantas. Lantaran itu, pelbagai jenama produk kosmetik boleh kita dapati di pasaran tempatan daripada harga produk yang mampu milik sehingga harga produk dengan mampu tengok sahaja. Namun isu penting kepada pengguna adalah jaminan produk selamat digunakan dan berkesan.

Cara buat produk kosmetik jenama sendiri, Syarikat OEM terbaik, Bahan merbahaya dalam produk kosmetik,

Pertamanya, buang persepsi bahawa yang mahal itu selamat dan yang murah itu merbahaya. Murah atau mahal sesuatu produk bergantung kepada kos pengeluaran produk tersebut. Semakin tinggi kos yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu produk maka semakin tinggi juga harga yang perlu dibayar oleh pengguna. Tambahan lagi, semakin banyak modal sudah dilaburkan, justeru itu untuk mendapatkan kembali modal serta meraih keuntungan daripadanya tentunya setiap kos tadi diserapkan kembali pada harga akhir yang akan dibayar oleh pengguna. Sebagai contoh bagi mereka yang mula bertatih untuk mengeluarkan produk kosmetik berjenama sendiri dengan modal kecil, tentunya tidak mampu mengambil risiko mengenakan harga yang tidak mampu dimiliki memandangkan kewujudannya masih kurang dikenali, persaingan sedia ada dengan produk di pasaran serta produk belum terbukti keberkesanaannya. Makanya wujudlah persaingan antara produk-produk kosmetik yang ada di pasaran sehingga pengguna menjadi rambang mata sama ada menggunakan produk yang dipercayai turun temurun atau beralih kepada produk baru dengan bungkusan yang lebih menarik , memberi peluang menjana pendapatan sampingan dan menggunakan strategi menarik minat pengguna yang sangat efektif.

Original Equipment Manufacturer (OEM)

Adalah menjadi kekhuatiran terhadap minat segelintir individu yang terburu-buru ingin menghasilkan produk berjenama sendiri tanpa mengambil kira beberapa faktor yang mungkin boleh membunuh perniagaannya sendiri. Beberapa tawaran boleh kita dapati dengan menawarkan peluang kepada individu berminat untuk menghasilkan produk kosmetik berjenama sendiri serendah RM5000.00 sahaja. Tanpa perlu sebarang penyelidikan mahupun kajian terhadap keberkesanaan dan keselamatan kepada pengguna, seseorang boleh menjadi usahawan kosmetik segera bergantung kepada sejauh mana berhasilnya stategi pemasaran yang dibuat bagi tujuan mempromosi produk kosmetik tersebut. Contoh strategi pemasaran yang boleh kita lihat adalah melalui pengiklanan, penajaan program serta rangkaian pengedar-stokis yang 'menjaja' kehebatan produk tersebut kepada golongan sasarannya.

OEM merujuk kepada syarikat atau firma yang bertanggungjawab untuk merekabentuk dan membina produk mengikut spesifikasinya sendiri, dan kemudian menjual produk tersebut kepada syarikat atau firma lain, yang bertanggungjawab untuk pengedarannya.[1]

OEM adalah singkatan kepada Original Equipment Manufacturer. Istilah yang digunakan untuk menggambarkan sesuatu produk datang dalam satu paket dari produksi. Maksud OEM secara umumnya adalah syarikat yang membuat produk untuk pihak lain (dibungkus dan dijual mengikut citarasa daripada pelanggan). Oleh itu, sesiapa juga boleh menjadi pelanggan kepada syarikat OEM tersebut asalkan berkemampuan. Setelah itu, terpulang kepada cara pelanggan tadi menjual semula produk di pasaran sama ada melakukan kaedah-kaedah jualan melalui promosi di jualan booth, iklan di televisyen dan sebagainya. Jika menggunakan strategi yang betul, ianya mempercepatkan lagi reaksi daripada pengguna. Walau bagaimanapun, OEM bukan sahaja terhad kepada pengeluaran produk kosmetik sahaja, bahkan semua produk yang boleh dijenamakan semula seperti minyak wangi, pakaian, makanan kesihatan dan sebagainya. Persoalannya, apakah aspek penting yang wajar diberi pertimbangan oleh pengguna sebelum membeli atau menggunakan produk tersebut?

Tentunya bukan mudah untuk mengeluarkan produk berjenama sendiri apatah lagi produk kosmetik tertakluk kepada akta dan peraturan sedia ada di negara ini. Pemantauan berterusan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia adalah salah satu usaha kerajaan membendung kegiatan produk kosmetik tidak berlesen dan mendatangkan kesan sampingan yang merbahaya kepada pengguna. Semua produk kecantikan atau kosmetik perlu mendapat notifikasi yang diberikan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dipasarkan di Malaysia. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui Unit Kosmetik, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) untuk mendapatkan maklumat dengan lebih lanjut berkenaan prosedur notifikasi kosmetik. [2]

Bahan merbahaya dalam produk kosmetik

Cara buat produk kosmetik jenama sendiri, Syarikat OEM terbaik, Bahan merbahaya dalam produk kosmetik,

Kandungan produk kosmetik terlarang mempunyai kesan sangat merbahaya jika diamalkan secara berterusan oleh pengguna. Adalah mustahil bagi seorang pengguna untuk mengambil kira tentang kandungan bahan terlarang dalam produk kosmetik kerana beranggapan produk kosmetik yang telah diiklankan secara meluas adalah selamat dan telah diluluskan oleh pihak berwajib.
  • Merkuri (Hg) adalah logam berat yang merbahaya, walau dalam jumlah kecil mampu menjadi racun kepada pengguna. Merkuri juga adalah bahan bersifat karsinogen (Karsinogen adalah bahan, radionuklida, atau radiasi yang menggalakkan karsinogenesis, pembentukan kanser) yang kebanyakkannya disalahgunakan pada krim pemutih kulit.
  • Penggunaan krim pemutih kulit yang mengandungi hidrokuinon (Kesan sampingan hidrokuinon adalah sedikit sahaja jika digunakan pada kepekatan yang rendah tetapi kesan kulit terbakar boleh berlaku jika krim tersebut digunakan pada kepekatan yang tinggi. Sekiranya digunakan dalam tempoh masa yang panjang digabungkan pula dengan pendedahan kepada cahaya matahari ia boleh mengakibatkan penghasilan tompokan dan bonjolan kekuningan pada kulit yang juga dikenali sebagai okronosis. Kerosakan ini akan berkekalan pada kulit kerana tidak ada apa yang boleh dilakukan untuk mengembalikan semula proses ini. Hidrokuinon bukan sahaja berbahaya jika digunakan pada kulit malahan jika termakan ia boleh menyebabkan keracunan yang serius. Sekiranya termakan dalam jumlah lima hingga 15 gram, bahan tersebut boleh mengakibatkan gelugut dan kerosakan sel darah merah (anemia hemolitik) [3]
  • Retin-A merupakan nama dagangan bagi tretinoin yang akan menghakis lapisan kulit secara sedikit demi sedikit sama seperti hidrokuinon. Ubat ini juga digunakan sebagai ubat jerawat. Semasa bahan ini digunakan, kulit akan kelihatan merah, rasa pedih, kering dan gatal-gatal. Juga kulit akan lebih sensitif kepada sinar matahari yang menyebabkan pengguna krim dinasihatkan supaya mengelakkan daripada terkena sinar terik matahari. Isotretinoin juga mempunyai kesan yang sama dengan retinoin di dalam mengatasi masalah jerawat serta mendapatkan kulit yang putih dan lembut.  Kedua-dua bahan ini tidak disyorkan untuk ibu mengandung kerana terdapat bukti bahawa isotretinoin boleh menyebabkan kecacatan janin. [3]
  • Asid hiroksi alfa (AHA) pula digunakan untuk mendatangkan kesan penanggalan kulit muka agar kulit baru yang lembut dan licin dapat menggantikan lapisan kulit atas yang tertanggal sama seperti yang dihasilkan oleh isotretinoin di atas. Kumpulan asid ini terdiri daripada asid laktik (yang diperoleh daripada susu), asid sitrik (daripada buah-buahan), asid glikolik, asid tartarik, kulit merah, rasa pedih, kering dan gatal-gatal. Sama seperti retinoin dan isotertinoin, elakkan daripada terkena cahaya matahari semasa menggunakan produk sedemikian. [3].
  • Retinoid digunakan dalam rawatan pelbagai penyakit dan berkesan dalam merawat beberapa keadaan dermatologi seperti gangguan radang kulit, kanser kulit, gangguan peningkatan perolehan sel (Contohnya psoriasis), kulit kedut kulit dan sebagainya. Keadaan kulit biasa yang dirawat oleh retinoid termasuk jerawat dan psoriasis. [4]. Walau bagaimanapun, kesan toksik berlaku dengan pengambilan tinggi dan berpanjangan.
  • Resorsinol dapat menyebabkan kerengsaan (Irritation) kulit dan mengganggu sistem imun badan. Kesan bahaya resorsinol pada kulit luka berupa gejala dermatitis, kerengsaan mata, kulit, tekak, saluran atas pernafasan, methemoglobinemia, cyanosis, konvulsi, peningkatan degupan jantung, dispepsia, hipotermia, hematuria. [5]
  • Bahan Pewarna juga digunakan dalam pelbagai produk kosmetik terutamanya Bahan Pewarna Merah K.3 (CI 15585), Merah K.10 (Rhodamin B) dan Jingga K.1 (CI 12075) pada produk lipstik atau produk lain (penghias kelopak mata dan perona pipi) kerana warnanya yang agak cerah. Bahan pewarna sintetis ini umumnya digunakan sebagai zat warna kertas, tekstil atau dakwat. Zat warna ini merupakan zat karsinogen. Rodhamin B dalam kepekatan tinggi dapat menyebabkan kerosakan hati. [5]

Cara syarikat OEM meningkatkan keyakinan pelanggan

Ada beberapa strategi yang digunakan oleh syarikat OEM untuk menyakinkan pelanggan bahawa produk yang dihasilkan oleh syarikat mereka adalah selamat digunakan. Namun begitu, terdapat juga kes di mana produk kosmetik telah dikesan mengandungi/tercemar oleh bahan merbahaya seperti di atas oleh pihak berwajib melalui pemantauan berterusan ke atas sampel produk kosmetik. Waima produk kosmetik yang sangat terkenal juga tidak terlepas daripada menghadapi situasi seperti ini. Kebanyakkan syarikat OEM akan mendapatkan beberapa pengiktirafan supaya lebih berprestasi tinggi, mempunyai kemampuan dan keupayaan serta mempunyai kualiti yang boleh menjamin keselamatan pengguna.

Good Manufacturing Practice (GMP) atau Amalan Pengilangan Yang Baik adalah salah satu pengiktirafan yang diberikan kepada industri yang mencapai piawai pengeluaran (makanan) yang lebih tinggi bagi memenuhi kehendak-kehendak keselamatan makanan dan kehendak negara. Permohonan untuk mendapatkan sijil ini adalah terbuka kepada semua jenis pengusaha premis makanan samada pemprosesan, pembungkusan, penyimpanan dan pengedaran makanan.

Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) adalah sistem pengurusan di mana keselamatan makanan ditangani melalui analisis dan kawalan bahaya biologi, kimia dan fizikal daripada pengeluaran, pemerolehan dan pengendalian bahan mentah, untuk pembuatan, pengedaran dan penggunaan produk siap.

Pensijilan Halal adalah produk yang telah disediakan mengikut undang-undang Islam, dan bebas daripada produk daging babi, alkohol dan bahan-bahan lain. Selain meningkatkan keyakinan pengguna dikalangan orang Islam, ianya adalah pensijilan yang mampu menarik keyakinan pelanggan berurusniaga dengan syarikat OEM memandangkan proses audit pensijilan adalah sangat ketat.

Tidak dinafikan bahawa, terdapat syarikat OEM mempunyai pakar dalam bidang penyelidikan, penjagaan kualiti serta mengamalkan prosedur-prosedur yang sangat ketat semasa proses pengeluaran produk. Oleh itu, semua kos itu akan ditanggung semula oleh pelanggan yang ingin mendapatkan produk berjenama sendiri. Apa yang membimbangkan terdapat syarikat-syarikat OEM yang tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan dengan tidak mengambil endah faktor keselamatan pengguna. Oleh itu, usahawan yang baru ingin menceburkan diri dalam perusahaan kosmetik perlu memilih pembekal/pengilang yang mampu menjamin tiada bahan merbahaya dalam produk kosmetik. Selain daripada itu, sebagai pengguna haruslah bijak memilih produk supaya ketaksuban diri untuk kelihatan cantik tidak mengundang mudarat kepada diri sendiri. Wallahulam.

20 Comments

janji ada modal je sekarang..tapi kalau betul2 nak keluarkan kosmetik yang lebih selamat rumit jugak kekdahnya kan

Memang rumit prosedurnya... janji ada modal... semua boleh bergerak...

GV dulu pernah pakai produk X dan mmg ada kandungan hidrokuinon itu. Lepas pakai kulit muka sama putih dengan dinding baru lepas cat warna putih tapi tak tahan duk kat tengah panas. sapa kulit gelap kalu pakai produk ini confirm muka nampak jambu. kalu xsilap GV, produk X ni dah kena banned sebab kandungan hidrokuinon terlalu tinggi. bertahun GV nak pulihkan balik kulit muka bagi tahan lama ckit kalu berdiri tgh panas. lagi satu, sangat susah nak cari produk sesuai ngan kulit. GV dah macam2x cuba produk luar dan dalam negara. siap sampai kena jumpa doktor sebab ada produk tak sesuai kulit sendiri. last-last jumpa juga produk yang tempatan yang sesuai. syukur alhamdullilah. GV setuju statement Mr Azlan yg kata tak semestinya mahal tu selamat, murah tu bahaya. It depends pada kulit kita juga.

Kalau produk kosmetik memang rumit.
Ada seorang kawan Mrs. A dah cuba keluarkan produk kosmetik jenama sendiri memang banyak modal yang dia laburkan sebab semua pun kena dibuat ujian makmal terlebih dahulu.

Ada jugaklah dia promote kat Mrs. A dah tu Mrs. A siap beli tanda support. Setakat yang Mrs. A guna itu ajelah satu lepas tu tak guna dah dia pun dah senyap aje tak tahulah apa cerita dengan produk kosmetik dia tu. Nak tanya bimbang pulak dia sentap hahahha....

Moral of the story bukan senang nak senang.

Part nie sha sokong.. Yang mahal tak semestinya bagus.. Kadang-kadang jenama je lebih tapi produk biasa-biasa je..

Apa yang penting, ada modal cukup dan pemilik produk bertanggung jawab dengan content produk supaya tak mudaratkan pengguna :)

Biasanya kita membeli disebabkan pesepsi. Begitu jugak kalau tak beli disebab pesepsi jugak.

Betul tu GV, jangan main pakai je, kena tengok keadaan kulit kita sendiri dulu... tambahan lagi, kalau jenis kerja dalam ofis memang senang nak elak dari matahari... kalau kerja bendang? Merekah kulit muka nanti...

Tu la, nak pakai produk kosmetik ni, kalau dah serasi amalkan je... jangan tukar sana tukar sini... nanti tak serasi dengan kulit, habislah...

Hehe... kan... publisiti...

Betul tu, kena bertanggungjawab, jangan tuding sana tuding sini kan..

Ya lah, kena pandai menilai persepsi nampaknya...

bnyk perkara perlu ambil tahu jika nk mengeluarkan produk sendiri ni..
dan bnyk jgk prosedur yang perlu diambil.risiko pun mcm tu...
tapi papepun yaya mmg agree..yang mahal xsemestinya bgus,dan kalau mura xsemestinya produk tu xbgus..produk mahal mana sekalipun kalau xkena dgn kulit,badan, mmg akan prob..

Ya benar Cik Yaya, paling penting setiap kulit manusia itu berbeza...

perlu byk ilmu.
hati kena teguh.
kuarkan produk sendiri. marketing. selling.
modal kena byk.
kalau bebetul bagus, pasti ok.

Betul tu, mesti letih kalau nak buat produk sendiri... kena selalu pekakkan telinga je...

Banyak sangat produk dipasaran sebab tak susah pun nak buat...ada modal and tahu makerting setel...hihi

Ya kan, ada modal semua benda boleh cerita....

Saya setia dengan product yang serasi dengan kulit bukan sebab terpengaruh dengan pengiklanan, jenama atau harga. Sebenarnya banyak perkara perlu dipertimbangkan (seperti yang disenaraikan dalam post Tn. NA) untuk bertukar kepada skincare products lain.. Kalau lebih elok tak mengapa kalau sebaliknya lebih banyak lagi duit kena keluar for treatment.. Baik elak..

Betul tu Sis LZ, bila dah setia dah tiada masalah, jangan cuba-cuba benda lain sebab takut rosak kulit nanti...

Secebis mutiara kata adalah cermin diri, seribu bahasa lambang peribadi. Paku dulang paku gelas, tinggalkan jejak untuk dibalas.
EmoticonEmoticon