Malaysia dan Merdeka: Kita belum merdeka!

Malaysia dan Merdeka| Hari ini adalah hari terakhir sebelum kita menyambut Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Negara esok. Setiap tahun selepas merdeka, tibanya 31 Ogos adalah hari kita memperingati detik-detik kebebasan negara daripada penjajahan British. Setelah sekian lama kita dijajah, akhirnya pada 31 Ogos juga kita mampu membina negara bangsa sendiri tanpa campur tangan pihak daripada negara lain. Itu harapannya. Tetapi benarkah kita sudah bebas dan mampu berpijak di kaki sendiri?

Bendera Malaysia, Malaysia, Bendera

Ramai orang telah membicarakan maksud atau erti kemerdekaan sebenar. Seperti biasa, bebas daripada penjajahan, bebas dijajah minda, bebas melakukan apa sahaja dan sebagainya. Benar merdekakah kita? Apakah kita telah bebas dan mampu bebas sendiri? Tidak mungkin. Kita belum merdeka! Kita belum merdeka jika kita masih mengharapkan ihsan negara lain untuk membangunkan negara, kita belum merdeka jika kita terpaksa melutut untuk memajukan ekonomi negara dan kita masih belum merdeka jika orang ramai masih belum faham apa itu melayu, cina, india, orang asli, iban, kadazan, dusun dan apa juga kaum yang ada di negara ini. Kita masih belum merdeka jika kita masih lagi memisahkan negeri dengan "maruah sempadan". Tidak mungkin merdeka.


"Kau tuduh aku, aku tuduh kau, kau fitnah aku, aku fitnah kau, kau tak tolong bangsa sendiri, kau lebihkan bangsa lain, kita mesti mempertahankan hak kaum kita". Ah! Macam-macamlah yang kita dengar setiap hari. Jadi apa guna bila tiba 31 Ogos, kita sibuk melaungkan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Retorik? Cerminan alam? Tidak mungkin kita merdeka. Apa yang kita tengok di televisyen tidak mencerminkan negara kita benar-benar merdeka. Lihatlah di bawah. Kamu akan jumpa sesuatu.

Kita masih lagi dijajah. Dijajah dalam minda dan hati. Ada sifat cemburu dengan apa yang orang lain ada. Sedang kita masih lagi berbicara sahaja. Sewaktu orang lain sedang berusaha, kita diam. Di kala orang lain sedang meraih kita bising. Merdeka kah kita? Merdeka hanya sejarah lalu, penyemaian erti kemerdekaan sebenar terhakis sedikit demi sedikit. Kita bakal dijajah sekali lagi jika kita masih lagi bersentimen dengan kaum, bersentimen dengan bangsa. "Mereka" nun jauh di sana sedang meraikan.



Ingati Timur Tengah, mereka sudah merdeka. Sehingga kini merdeka kah mereka? Tidak mungkin. Mengapa? Adakah mereka tidak faham erti kemerdekaan sebenar? Satu sebab penting kenapa kemerdekaan mereka di ragut. Alpa! Mereka lalai dengan bentuk penjajahan baru. Membuka peluang kepada kuasa besar. Menjemput serta mengalu-alukan mereka dengan cara tanpa marhaen sedar. Sedikit demi sedikit. Akibat tamakkan kuasa, negara tergadai.

Kita mesti takut akan hilangnya erti merdeka. Bukan hanya nyanyian, konsert dan slogan yang perlu kita buat saban tahun. Kita mesti buat lebih daripada itu. Hentikan sentimen kebencian. Hentikan fitnah dusta dan kata-kata berapi. Jangan jadi bara yang tidak akan terpadam. Bahaya dan sangat membinasakan generasi hadapan. Kamu mulakan dulu kerana kamu di atas. Kamu kepala dan marhaen ekor. Jangan pernah buka peluang dan ruang untuk "mereka" menjajah sekali lagi. Siapa mereka? Semarakkan Hari Kemerdekaan dan jangan pernah berhenti. Gunakan apa yang kita ada dan mampu lakukan.

Pantun kemerdekaan untuk kita sama-sama menghayati. 

Gagahnya berdiri nama Malaysia,
Bukan mudah memacakkan tiangnya,
Merdeka yang ada haruslah selamanya,
Moga pewaris bangsa mempertahankannya.

Anak Melayu, Cina dan India,
Ikutlah cara resamnya padi,
Bangsa merdeka Negara Malaysia,
Biar akhlak dan budi semakin meninggi,

Pejuang negara berkorban nyawa,
Budi terbalas di akhirat jua,
Biar akal memenangkan negara,
Membangun bersama rakyat sejahtera.

Bulan Ogos bulan kemerdekaan,
Ingati ia dan raikannya,
Erti kemerdekaan berulang dikata,
Agar pewaris bangsa tidak pernah leka.

Majulah negara kerana belia,
Kekal teguh bermuafakat bersama,
Tanpa usaha semuanya sia-sia,
Sambutlah merdeka dengan gembira.

Jurnal kemerdekaan. Terima kasih jika faham. Wallahualam.

16 Comments

merdeka hanya pada nama..sdangkan minda masih dijajah..huhu

Dengan teknologi yg semakin pesat membangun lagi memudahkan kita di jajah tanpa sedar. Selamat menyambut hari kemerdekaan dan salam aidiladha.

Setuju tu sis Ana... Tanpa kita sedar... Selamat Menyambut Kemerdekaan dan Salam Aidiladha juga buat Sis Ana sekeluarga...

sedih dengan keadaan Malaysia skrg nie.. :(

Kita dijajah dgn cara halus, anak muda yg sepatutnya menjadi benteng negara di masa akan datang, tapi jiwanya teruk dijajah..tanpa Iman apalah ertinya.

dengar saja lagu 'Anak Kecil Main Api'

Betul tu, susah kita nak cakap lebih-lebih sebab anak-anak kita juga bakal generasi akan datang....

Lagu yang membawa seribu maksud dan mendalam...

Well said Tn. NA.. Sekarang cara penjajahan melalui minda.. Jangan leka dan perlu sentiasa berhati-hati.
Saya lebih risau generasi pelapis..

Betul sis, memang kita perlu takut pada masa hadapan... tidak tahu cabaran apa yang anak kita bakal hadapi...

Merdeka bermula dari dalaman.Betul kita bebas dari kekejaman penjajah yang nyata..namun sebenarnya kita sedang diserang dan dijajah dengan cara yang paling halus..dan sedikit demi sedikit benteng negara kita menjadi rapuh jiwanya.

Itu perkara yang paling ditakuti...

Secebis mutiara kata adalah cermin diri, seribu bahasa lambang peribadi. Paku dulang paku gelas, tinggalkan jejak untuk dibalas.
EmoticonEmoticon