Contoh Teks Ucapan Majlis Perpisahan Pra-Sekolah

Contoh Teks Ucapan Majlis Perpisahan JPTP Pra-Sekolah| Majlis Perpisahan Pra-Sekolah Tabika Perpaduan di sekolah anak saya telah berlangsung pada 16 November yang lalu. Agak lewat saya mengemaskini artikel ini ke dalam blog memandangkan kekangan masa untuk menulis. Walau bagaimanapun, saya kongsikan Contoh Teks Ucapan Sempena Majlis Perpisahan Tabika Perpaduan untuk rujukan pada masa hadapan.

Program Tabika Perpaduan Kelas Bunga Orkid Sibu

Terima kasih kepada Pengerusi Majlis, Cikgu Jeriah,

Yang Berusaha, Pegawai Perpaduan Bahagian Sibu, Pn Siti Nurfatimah Binti Hussen,

Yang Dihormati, Penolong Pegawai Perpaduan, Encik Muhd Zulkefli Bin Mohd Nazri, Cikgu Jeriah dan Cikgu Nancy,

Yang Dikasihi, Ahli Jawatankuasa Penyelaras Tabika Perpaduan (JPTP), Ibu Bapa serta anak-anak murid Kelas Bunga Orkid sekalian.

Assalamualaikum dan Selamat Petang,

Program Tabika Perpaduan Kelas Bunga Orkid Sibu

Untuk makluman semua yang hadir pada hari ini, program hari ini adalah program yang terakhir pada tahun ini. Sepanjang tahun ini, banyak juga aktiviti yang berjaya kita realisasikan dengan dana yang cukup terhad. Walau bagaimanapun, hasil sumbangan daripada ibu bapa, telah menampung kekurangan yang kita hadapi pada tahun ini.

Untuk makluman Puan Siti dan hadirin yang hadir,


Menjadi tugas kami sebagai ahli JPTP yang dilantik dan ibu bapa murid Kelas Bunga Orkid untuk terus menyokong dan memberi komitmen berterusan kepada pihak pengurusan Kelas Bunga Orkid dan Bahagian Perpaduan Sibu dalam mewujudkan hubungan akrab, saling bergantung antara satu sama lain, memberi idea untuk kepentingan bersama serta membantu meringankan beban cikgu semasa penganjuran program di Kelas Bunga Orkid.

Alhamdulillah, ianya dibuktikan dengan nyata, pada setiap program yang dianjurkan, ibu bapa telah memberi sumbangan wang ringgit, makanan dan tenaga untuk memastikan setiap program yang dirancang berjalan dengan lancar. Kehadiran ibu bapa pada setiap program juga sangat memberansangkan walaupun kita memahami segelintir ibu bapa agak sukar untuk diberi pelepasan kerana tuntutan pekerjaan. Namun mereka sentiasa menyalurkan komitmen dalam satu bentuk yang lain kepada Kelas Bunga Orkid. 

Terima kasih kepada ibu bapa semua.

Warga Tabika Perpaduan Kelas Bunga Orkid Sibu 2017

Untuk makluman Puan Siti dan hadirin sekalian,

Tidak lengkap jika kita berpisah bagi Seisi Tahun 2017 ini tanpa seloka pantun, Bagi pihak ahli JPTP, jika terdapat kekurangan dan kesalahan daripada kami,

Patah galah nyulok kedondong 
Galah bernama intan baiduri 
Bukannya salah ibu mengandong 
Salah ya dari kamek, ahli JPTP sendiri

Kepada murid dan ibu bapa yang akan meninggalkan keluarga besar kita,

Sungei Bintangor jauh ke darat 
Apong hanyut berbelah duak 
Kitak ke timur kamek ke barat 
Ada suratan bertemulah juak

Kepada ahli JPTP yang telah bersama-sama sepanjang tahun ini,


Tanam lenggun tumbuh kelapa 
Terbit bunga pucuk mati 
Budi tuan puan saya tidak lupa 
Telah terpahat didalam hati

Sekian, Terima kasih.

18 Comments

wahhh dah mcm ucapan YB rasmikan majlis ;-) pantun tu x sah kalau x ada kan...

Pantun tu sebenarnya pemanis acara..ada Melayu..buka dan tutup dengan pantun...

wah bagusnya teks ucapan ni. ada pantun lagi tak jemu membaca dan mendengarnya

boleh buat rujukan jugak ni. bagus..hehe

Itulah sis, macam tak lengkap jika tidak berpantun...

Terima kasih Mamapp, saya tak pandai berucap kalau tak ada teks, berterabur nanti...

Tahun depan mereka masuk darjah satu ek.
Bagus ucapannya, siap teks sekali.

Bukan bang, saya Pengerusi JPTP (Ibu Bapa), kena buat ucapan sikit...

Ya Pak Cik, seorang naik darjah satu dan seorang lagi kekal...

Wah..bagus ucapanya tu en.azlan sekali dengan pantun yang sedap dialunkan

Kalau taip dulu cantik bunyinya, kalau on the spot kelaut juga sis...

paling win pantun dalam bahasa Melayu Sarawak.


ada rare sedikit tetapi memang cun gilak lah ya

Pantun ikut audiens tuan... pantun ya pun kamek Google juak tuan...

Suka kalau teks ucapan ada pantun.. Nampak lebih menarik dan menjadikan ucapan itu lebih seronok didengar..

Dah namanya Melayu kan... mesti ada pantun...

Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati dan sebagainya yang secara jelas menyalahi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] - SKMM.

Secebis mutiara kata adalah cermin diri, seribu bahasa lambang peribadi.

Don't hesitate to contact me at azlan7783@gmail.com for any review, advertorial or anything else.
EmoticonEmoticon