Penggunaan bahan terlarang produk murah

Penggunaan bahan terlarang produk murah| Istilah produk murah merujuk kepada produk-produk yang terdapat di pasaran, dijual kepada pengguna, dibangunkan tanpa kajian mendalam dan mengabaikan aspek keselamatan kepada pengguna serta ketidakpatuhan kepada perundangan sedia ada. Selain itu, punca utama lambakan produk murah di pasaran adalah kerana dicipta dengan tujuan mengaut keuntungan semata-mata tanpa memikirkan betapa bahayanya risiko dan kesan jangka panjang kepada pengguna. Produk murah boleh terkait apa jua produk yang terdapat di pasaran tempatan, namun pada entri kali ini, saya hanya fokuskan kepada produk murah yang melanggar peraturan farmaseutikal sahaja.

Produk kurus badan, bahan terlarang Sibutramine, merkuri, hydroquinone

Isu ini telah dibangkitkan berkali-kali oleh segelintir pakar perubatan namun tahap kesedaran pengguna masih membimbangkan apatah lagi, keberkesanan strategi pemasaran yang dijalankan oleh segelintir "founder" mengakibatkan kebanyakan pengguna dangkal sentiasa terdedah terhadap bahaya tersebut. Maka secara tidak langsung, mereka yang telah terdedah akan membantu mendedahkan orang lain pula kepada risiko produk murah tersebut. Pengetahuan saya berkenaan topik ini tidak setinggi mana, namun atas kapasiti dan kemampuan yang saya ada, saya akan cuba menyedarkan masyarakat bahawa tidak semua produk itu selamat digunakan. Usah percaya kepada sesuatu produk dengan membabi buta tetapi semak terlebih dahulu melalui saluran yang telah disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (Link)

Produk murah yang dikesan mengandungi bahan terlarang terdiri daripada produk kosmetik, jamu dan pil, produk minuman, pil kurus badan, produk kuat lelaki dan banyak lagi. Walau bagaimanapun, jabatan farmasi sentiasa melakukan pemantauan berterusan terhadap produk-produk yang terdapat di pasaran. Melalui tanggungjawab saya di seksyen baharu, analisa yang dijalankan mendapati, pengabaian aspek keselamatan kepada pengguna memang benar dan wujud namun sekiranya pengguna sedia kekal untuk memerlukan produk-produk tersebut, maka rantaian pengeluaran produk tersebut tidak akan pernah terhenti. Hasilnya, lahirlah jutawan-jutawan muda yang berbekalkan kaedah promosi berkesan dan menyakinkan tanpa memikirkan kesan kepada pengguna.

Sebagai contoh, sibutramine telah banyak dikesan dalam produk menguruskan badan. Bahaya sibutramine kepada pengguna adalah jelas. Ianya boleh menyebabkan mulut kering, anoreksia, insomnia, sembelit dan sakit kepala. Malah lebih teruk lagi, pengguna akan halusinasi, demam, gegaran, refleks yang terlalu aktif, loya, muntah-muntah, cirit-birit serta banyak lagi kesan buruk kepada pengguna. Manakala, dexamethasone dikesan pada produk kosmetik yang mampu memberikan kesan bahaya segera dan jangka panjang kepada kulit manusia. Bagaimana pula dengan produk seperti pil jamu dan maajun tanpa maklumat kandungan dan deskripsi jelas pada bungkusan produk. Ianya sangat berisiko kepada pengguna.

Bahaya awal dexamethasone yang biasa terjadi kepada pengguna adalah seperti senarai dibawah:
  • Loya, Muntah 
  • Perut tidak selesa 
  • Bengkak (edema) 
  • Sakit kepala , Pening 
  • Perubahan mood, seperti kemurungan, perubahan mood, atau perubahan personaliti 
  • Masalah tidur 
  • Kebimbangan 
  • Paras kalium yang rendah (menyebabkan gejala seperti keletihan) 
  • Tekanan darah tinggi 
  • Masalah penglihatan 
  • Penglihatan kabur

Sememangnya sangat sukar untuk melakukan pemantauan terhadap beribu jenis produk murah yang muncul umpama cendawan tumbuh selepas hujan memandangkan kos penghasilannya sangat murah dan mudah. Tambahan lagi, masyarakat di negara ini tidak menggunakan saluran yang betul semasa membuat andaian berkenaan sesuatu produk. Pengguna digalakkan membuat laporan kepada bahagian farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia dan bukan mengadu kepada mahkamah awam di media sosial dan sebagainya. Seharusnya, berhenti menggunakan produk murah yang disyaki mengandungi bahan terlarang melainkan telah disahkan selamat digunakan oleh pihak bertanggungjawab. Tiada pembeli, tiada penjual, ini adalah "nature of business".

Saya memahami bahawa pengguna mahu keputusan dengan kadar segera berkenaan produk apa yang merbahaya kepada pengguna. Sekali lagi, ianya sangat sukar memandangkan produk ini dipasarkan melalui kaedah promosi yang berkesan. Pengguna mudah terpedaya dengan janji "founder" sebelum analisa dijalankan kepada produk oleh pihak bertanggungjawab. Telah terbukti produk sedia ada yang lulus pemeriksaan juga terbabit dalam penyalahgunaan bahan terlarang merkuri atau hydroquinone. Justeru, kesedaran pengguna terhadap bahaya menggunakan produk terlarang harus dipertingkatkan lagi dari masa ke semasa. Pilihan lain sentiasa ada kepada pengguna. Murah atau mahal sesuatu produk bukan isunya. Apa yang penting, keselamatan kepada pengguna. Wallahualam.

6 Comments

kena pastikan ubat tu ada perakuan KKM.

Betul...sebenarnya,apa pun yang kita ingini tiada jalan mudah dan singkat..termasuklah untuk kecantikkan mahupun kesihatan..

Setuju Abam Kie, itu asas sebelum memilih sesuatu produk...

Ya Sis, paling penting, cantik di dalam...

Susah nak percaya product sekarang.. I think I would only trust the drug store..

Yeah true, sekurang-kurangnya, banyak jenama yang dijual telah kukuh sekian lamanya...

Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati dan sebagainya yang secara jelas menyalahi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] - SKMM.

Secebis mutiara kata adalah cermin diri, seribu bahasa lambang peribadi.

Don't hesitate to contact me at azlan7783@gmail.com for any review, advertorial or anything else.
EmoticonEmoticon