Monday, March 07, 2022

Projek rumah terbengkalai, Sentoria Borneo Land

Projek rumah terbengkalai, Sentoria Borneo Land| Seketika dahulu saya pernah menaikkan satu entri berkaitan beli rumah guna loan kerajaan pada 08 Febuari 2019. Urusan jual beli tersebut telah mula diusahakan pada penghujung 2018. Namun sehingga kini rumah yang diimpikan memang betul-betul umpama mimpi dalam mimpi. Sehingga kini, Projek rumah Sentoria Borneo Land kelolaan Sentoria Borneo Land Sdn Bhd (Sentoria Group Berhad) yang terletak di Kuching, Sarawak yang telah saya beli, masih belum siap.


Sentoria Borneo Land

Terkini, pihak pemaju telah menyatakan komitmen untuk menyiapkan projek perumahan dalam tempoh 12 bulan. Namun apa yang saya lihat, cuma beberapa orang sahaja pekerja terlihat ditapak binaan. Harapan untuk rumah impian siap seperti yang dijanjikan agak meragukan. Justeru itu, untuk mengurangkan beban kewangan yang saya hadapi, saya terpaksa melakukan kerja sampingan seperti menjadi rakan penghantar makanan sejak Januari 2021.
Rumah terbengkalai Sentoria Borneo Land, Sentoria
Surat makluman daripada pemaju

Begitulah nasib pembeli rumah terbengkalai. Diluah mati emak, ditelan mati bapak. Pelbagai usaha telah diikhtiarkan oleh komuniti pembeli sehingga perjumpaan bersama menteri (negeri) berkaitan juga telah diadakan. Hasil perbincangan tampak berjalan perlahan. Potongan pinjaman telah bermula sekian lama. Segelintir pembeli terpaksa menumpang rumah ibu bapa atau menyewa. Hal ini telah menambah beban kewangan keluarga masing-masing. 

Beginilah keadaan kawasan rumah yang telah saya beli. Sedih melihat keadaan rumah. Rumput sekitar semakin meninggi. Semasa awal pembelian, sudah fikir dekorasi, warna, ubahsuai dan sebagainya. Kini, yang penting rumah siap dan dapat kunci rumah. Gambar diambil oleh salah seorang pembeli projek perumahan saya.

Rumah terbengkalai Sentoria

Ramai orang menasihatkan saya untuk membeli rumah yang sudah siap dibina. Namun untuk makluman, bukan pembeli tahu rumah yang bakal dibeli akan mempunyai masalah seperti ini. Ada orang rezeki beli rumah siap ikut tempoh jangkaan. Ada juga rezeki dapat rumah, cantik sangat binaannya dan ada juga beli rumah, runtuh pula tanahnya. Rezeki datang dalam pelbagai bentuk. Saya diuji begini dan untuk tidak meratapinya, saya berusaha untuk tidak rasa terbeban. Alhamdulillah dapat juga saya meneruskan hidup bersama keluarga saya.

Masalah seperti ini kerap berlaku di negara ini oleh kerana penguatkuasaan undang-undang yang lemah. Undang-undang juga tidak membebankan orang yang bertanggungjawab. Tukar nama syarikat, pinjam nama sanak saudara buat bisnes, boleh juga buka satu lagi syarikat lain yang menggunakan aset yang sama. Jadi apa daya rakyat marhaen yang kurang berkemampuan untuk menegakkan keadilan? 

Andai rumah tidak berkepentingan kepada VIP, maka perlahanlah perkembangannya. Andai projek rumah itu berkaitan anak menteri, hari ini kecoh, bulan depan tentu boleh siap. Faham-fahamlah ya. Wallahualam.