Friday, April 08, 2022

Setahun sebagai rakan penghantar Grab

Setahun sebagai rakan penghantar Grab (Grab Delivery Partner)| Genap setahun saya sudah menjadi rakan penghantar. Semuanya bermula sejak Disember 2020. Saya mula memohon menjadi rakan penghantar Grab pada bulan Disember 2020. Namun saya diterima terlebih dahulu oleh Foodpanda pada bulan Januari 2021. Pada tarikh 18/03/2021, saya mendapat jemputan untuk hadir ke Grab Driver Centre (GDC). Sehingga kini, pelbagai pengalaman selama menjadi rakan penghantar Grab  mahu saya coretkan kepada semua pembaca entri ini. Terima kasih.

Rakan penghantar Grab, Rider Foodpanda

Setiap pekerjaan yang kita lakukan pasti ada cabaran dan dugaannya tersendiri. Kemudian terpulang pula bagaimana cara kita menghadapinya. Setiap detik yang saya lalui sebagai rakan penghantar Grab, ianya sesuatu yang berbeza berbanding kerja hakiki saya. Pendapatan tambahan bersama Grab adalah peluang saya untuk meringankan beban sewa rumah kerana rumah yang saya beli masih lagi terbengkalai dan pemotongan gaji telah lama dibuat.

Secara keseluruhannya, saya bersyukur dengan rezeki dan peluang yang ada untuk menjana pendapatan tambahan bersama Grab. Walaupun secara separuh masa, namun tanggungjawab untuk menyelesaikan tugas yang diberikan tetap sama dengan rakan yang melakukan secara sepenuh masa. Tiada yang berbeza. Menunggu, ambil dan hantar. Saya juga telah memerhatikan banyak isu hangat timbul diperkatakan baik dalam komuniti rakan penghantar mahupun komuniti vendor seperti isu yang disenaraikan dibawah:

Orang Lama (Otai) VS Orang Baru.

Ramai dikalangan rakan penghantar meletakkan status lama dan baru sebagai satu sempadan ukhwah sesama rakan penghantar. Secara bangga meletakkan diri sebagai orang lama yang perlu dihormati dan sebagainya. Ianya menjadikan orang-orang baru tidak senang duduk dengan isu tersebut.

Hakikatnya, orang lama akan tahu beberapa perkara asas awal sebagai rakan penghantar:
  • Lokasi kedai (vendor) - Terdapat kedai yang sukar dijumpai disebabkan pin lokasi yang salah, kedai sudah bertukar lokasi, papan tanda tidak kelihatan dan sebagainya. Sebagai orang lama sudah tentu mereka ini pernah mengambil makanan di kedai-kedai yang bermasalah seperti yang disebutkan. Oleh itu, rakan penghantar baru akan mengalami masalah kecil ini pada permulaannya sahaja. Selepas itu, mereka sama sahaja.
  • Jalan Singkat (Shortcut way) - Orang lama sudah tahu benar dengan selok belok jalan di sesuatu kawasan berbanding dengan orang baru. Tambahan pula, segelintir orang tidak dicipta untuk memahami banyak perkara dalam dunia. Tentu sahaja akan ada kekurangannya termasuk kemahiran memahami selok belok jalan. Namun, teknologi peta sudah ada. Ianya sangat membantu.
  • Solusi kepada masalah - Orang lama adalah orang yang boleh dirujuk kepada sesuatu masalah berkaitan isu rakan penghantar. Orang yang dipercayai mampu membantu rakan penghantar baru dalam menyelesaikan masalah yang berbangkit. Jika mereka sebagai orang lama mampu membantu setiap permasalahan yang timbul, maka mereka ini layak dihormati sebagai orang lama yang kompeten.

Sistem rakan penghantar (Aplikasi Pemandu)

Perbezaan sistem rakan penghantar adalah normal selari dengan revolusi sebuah perniagaan. Ibarat model kenderaan, tentu banyak variasi dan model yang berbeza selari dengan peredaran masa dan kemajuan teknologi pada masa tersebut. Begitu juga dengan sebuah perniagaan, ianya akan sentiasa ada variasi untuk tidak tepu. Aplikasi pemandu Grab juga telah banyak pembaharuan termasuk sistem bonus, sistem ganjaran dan sebagainya.

Kerja tetap atau Separuh Masa

Salah satu objektif kerjaya gig adalah individu kehilangan pekerjaan dan penganggur dari golongan rentan yang terlibat dalam peluang pekerjaan jangka pendek sehingga mereka dapat memperoleh pekerjaan sepenuh masa.

rakan penghantar perlu sedar bahawa rakan penghantar diletakkan sebagai kategori kerjaya gig. Ini bermaksud ianya pekerjaan sementara. Jika ada rakan yang berniat untuk menjadikan kerjaya gig secara sepenuh masa, maka mereka perlu melalui setiap cabaran dengan tabah dan sentiasa berhati-hati di jalan raya kerana jika berlakunya kemalangan, punca pendapatan keluarga akan terjejas.

Setiap rakan penghantar adalah layak untuk mengutarakan cadangan / usul kepada pihak pengurusan namun sebagai rakan penghantar dalam terma kerjaya gig, maka setiap pandangan yang disampaikan itu boleh diterima atau tidak oleh pihak pengurusan. Secara asasnya, jika melibatkan kos yang besar dan tidak mampu mengembangkan sebuah perniagaan, ianya mustahil direalisasikan. Oleh itu, sedar diri semua rakan penghantar, tanpa kamu, orang lain akan mengambil alih tugas kamu.

Bayaran tugas

Tentu sahaja isu ini adalah isu yang paling hangat sepanjang setahun pengalaman saya sebagai rakan penghantar Grab. Perbandingan pendapatan ketara dirasai oleh orang lama yang mana mereka memaklumkan bahawa bayaran semakin turun dan turun. Namun orang baru begitu semangat untuk menggalas tugas sebagai rakan penghantar. Tayangan jumlah pendapatan dijadikan perdebatan hangat. Ada yang setuju, ada yang tidak bersetuju. Isu ini sangat menarik dan berkait rapat dengan pengembangan perniagaan oleh Grab.

Beberapa perkara telah diselesaikan oleh pihak pengurusan Grab untuk mengekalkan Grab sebagai platform relevan bagi setiap pelanggan. Antaranya:
  • Bayaran jarak terlalu besar - Dahulu mungkin rakan penghantar berasa selesa dengan bayaran jarak yang besar. Selesai 7-8 tugas sudah mencecah RM100.00. Selesai kerja pada sebelah malam boleh mencecah RM300. Jika purata RM200 sehari, (RM200 sehari x7 hari x4 minggu =RM5600.00). Bayaran ini tidak layak dianggap kerjaya gig oleh sesetengah orang bukan rakan penghantar walaupun risiko sebagai rakan penghantar adalah besar kerana melibatkan nyawa itu sendiri. Pihak pengurusan mungkin mengurangkan kadar bayaran jarak untuk mengatasi beberapa masalah lain dalam perniagaan itu sendiri.
  • Online/Offline - Oleh kerana pendapatan kasar rakan penghantar yang sangat besar dahulu, maka mereka ini semudahnya online dan offline apabila cuaca buruk, sudah cukup sasaran pendapatan yang membuatkan pihak pengurusan terpaksa merekrut pekerja baharu untuk mengatasi masalah  tugas tidak diselesaikan kerana kekurangan rakan penghantar bekerja pada masa-masa tertentu. Mengurangkan peratusan tugas tidak diselesaikan adalah hak pemilik perniagaan biarpun rungutan orang lama mengatakan budak baru ramai, tugas jadi sendu dan sebagainya. Oleh kerana itu, jika keadaan hujan, bayaran yang diberikan kepada rakan penghantar telah dinaikkan selari dengan risiko dihadapi rakan penghantar (jika anda tahu tentang perkara ini).

Kestabilan sistem aplikasi pemandu/pelanggan

Gangguan terhadap aplikasi ini agak mustahil dielakkan memandangkan capaian internet di negara ini agak terkebelakang berbanding nagara lain. Oleh kerana itu, gangguan aplikasi tidak mungkin sifar, tentu sahaja akan ada gangguan dan apa yang paling penting, berapa lama tempoh penyelesaian yang dilakukan oleh pihak pengurusan Grab. Walau bagaimanapun, masalah sistem/aplikasi Grab tidak pernah mengambil masa yang lama untuk diselesaikan setakat yang saya alami selama setahun ini.

Persaingan perniagaan

Oleh kerana pertumbuhan aplikasi penghantaran makanan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, maka wujudnya persaingan sihat antara syarikat penghantar. Foodpanda, Grab, Lalamove, Shoppefood, Airasia Food dan sebagainya. Semakin rendah harga penghantaran diberikan kepada pelanggan maka rendah juga bayaran yang diberikan kepada rakan penghantar. Ianya hukum timbal balik perniagaan. Kesannya kepada rakan penghantar kerana bayaran jarak jadi rendah sedikit berbanding dahulu.

Kewujudan bayaran tunai adalah keperluan perniagaan walaupun segelintir rakan penghantar Grab tidak bersetuju dengan keputusan Grab meluaskan kaedah bayaran kepada pelanggan. Semua ini dilakukan untuk cipta peluang perniagaan yang baharu supaya jumlah permintaan akan bertambah. Pertambahan permintaan bermakna pertambahan peluang tugas kepada rakan penghantar.

Konsep sama juga digunakan ketika Grab meluaskan perkhidmatannya kepada GrabMart, GrabExpress dan sebagainya. Tidak cukup dengan itu, khidmat penghantaran antara bandar di negara lain juga telah diwujudkan oleh Grab. Betapa berkembangnya perniagaan Grab sehingga tiba pada peringkat ini.

Isu kecurian beg, personaliti dan adab

Pelbagai kerenah rakan penghantar Grab dapat kita perhatikan. Ada yang bersyukur, ada yang merungut dan ada juga jenis kepala angin terhadap vendor. Semua itu ragam yang akan kita lalui. Setiap orang ada pandangannya tersendiri. Untuk menilai satu persatu pandangan semua orang, kita tidak akan dapat semua orang mempersetujui semua perkara yang sama.

Kecurian beg sangat kerap berlaku kepada mereka yang tinggal di Kuala Lumpur seumpamanya. Masalah kecurian ini memerlukan inisiatif kendiri oleh pemilik beg tersebut. Pemasangan CCTV juga membantu menyelesaikan masalah ini. Pernah satu ketika menunggu pesanan siap, seorang rakan penghantar menceritakan bagaimana dia mengikat tulang ayam dan diselaputi dengan kain kuning, diikat pada cermin sisi memandangkan ianya kerap dicuri. Walaupun "tangkal" itu hanya hiasan dan tipu-tipu sahaja, namun ianya berhasil katanya. 

Saya lihat banyak rakan penghantar menikmati saat bersama rakan-rakan lain semasa melakukan tugas. Oleh kerana itu, terdapat pandangan mengatakan rakan penghantar mempunyai ikatan ukhwah yang kuat (Brotherhood). Selama mana ianya tidak mendatangkan banyak keburukan, ianya sesuatu yang positif dan perlu kita sanjunginya.

Amarah kepada vendor juga pernah berlaku memandangkan, bayaran rakan penghantar bergantung kepada berapa banyak tugas diselesaikan semasa bekerja. Namun, pihak vendor juga kadang kala tidak begitu memahaminya dengan tidak peka terhadap aplikasi, tidak ada aplikasi di kedai, tempoh menyiapkan pesanan yang tidak masuk akal dan sebagainya. Masalah ini jika tidak dihadapi oleh rakan penghantar adalah anugerah rezeki yang tidak ternilai. Lancar, cepat dan mudah sangat didambakan semasa melakukan tugas penghantaran.

Anjing akan sentiasa menjadi anjing

Sukar untuk kita mengelakkan masalah anjing yang mengganggu rakan penghantar kerana sifat anjing itu suka menggigit dan bermain, mempertahankan kawasannya. Oleh itu, rakan penghantar perlu menghadapinya dan mengatasinya sedikit demi sedikit. Sentiasa memandu perlahan di kawasan perumahan, berhenti apabila terdapat anjing dan bergerak sangat perlahan. InsyaAllah, rakan penghantar akan selamat menuju destinasi.

Rumusan

Setahun ini sangat membantu saya mengenali ramai rakan baharu. Suasana harmoni sangat dirasai di kawasan saya berkhidmat. Semuanya baik dan membantu. Kadang kala memandu laju itu meningkat adrenalin saya, sangat mengujakan. Ada masa terpaksa memandu umpama siput kerana membawa kek atau barang rapuh. Pernah juga tergolek di jalan yang licin namun Alhamdulillah tiada kecelakaan serius. Akhirnya saya akan terus menggunakan peluang yang ada untuk meringkan beban kewangan kerana itu pilihan saya. Jika tidak sesuai dengan anda, maka berhentilah merungut dan dapatkan pekerjaan yang lebih sesuai. Wallahualam.

2 comments:

  1. Ramai jugak kawan-kawan yang berhenti kerja sebab nak buat Grab. Katanya lebih untung berbanding kerja office hour + boleh pilih masa bila nak kerja. Tapi itulah, bergantung kepada pilihan masing-masing.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada risikonya kalau berlaku kemalangan, tapi semua kerja tetap ada risiko... Perlu hati2 dan rezeki ada... Perlu rajin turun dan percaya pada rezeki...

      Delete