Friday, February 08, 2019

Beli rumah guna loan kerajaan

Beli rumah guna loan kerajaan| Alhamdulillah impian membeli rumah pertamaku dimakbulkan dan telah diluluskan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) akhir bulan lalu. Ibarat bulan jatuh ke riba, memiliki rumah sendiri setelah saban tahun menyewa melengkapkan satu impian masa hadapan kami sekeluarga. Kemudahan untuk anak-anak berteduh, tidak menumpang entah kemana jika ajal menjemput saya, saya berasa sangat gembira dengan berita kelulusan tersebut.

Membeli rumah pertama dengan loan kerajaan, pinjaman perumahan

Walaupun agak lewat saya membeli rumah, namun lebih baik lewat daripada tiada. Nasihat saya kepada anak muda, rumah adalah sasaran keutamaan nombor satu berbanding kereta. Usaha membeli rumah terlebih dahulu melainkan anda pewaris kepada rumah keluarga. Harga rumah akan sentiasa meningkat dan perniagaan hartanah adalah berbaloi.

Berbalik kepada cerita saya membeli rumah menggunakan loan kerajaan. Saya tidak dapat membeli rumah berstatus bumiputera (Native Land) di Sarawak memandangkan saya orang Johor yang bekerja di Sarawak. Walau bagaimanapun, isteri saya orang Sarawak, jadi saya mempunyai kelebihan itu untuk membeli rumah di sini. Saya membeli rumah di Mixed Zone Land. Mixed Zone Land adalah tanah yang boleh dimiliki oleh bukan bumiputera dan bukan penduduk pribumi Sarawak iaitu orang Semenanjung dan Sabah. Satu lagi jenis tanah di Sarawak adalah Tanah NCR iaitu tanah milik kerajaan Negeri Sarawak tanah yang tidak ada Title dari pihak Jabatan Survei Tanah (Land Survey Department).

Pilih rumah idaman anda
Perkara pertama yang anda perlu buat adalah memilih rumah idaman. Seharusnya memilih rumah perlu mengambil kira jarak ke sekolah, tempat kerja, kos sara hidup setelah beli rumah kecuali anda penjual hartanah, beli dan simpan, kemudian jual balik. Bagi kes saya, yang penting tidak jauh dengan tempat kerja. Jadi dapat jimat kos minyak.

Semak kelayakan kewangan
Bab ini kebanyakan orang gagal memandangkan banyak hutang tertunggak dan sebagainya. Apabila melibatkan pinjaman institusi perbankan, anda tidak boleh tipu kedudukan kewangan anda tetapi anda boleh pusing mereka. Oleh itu, sebelum menghabiskan banyak wang pada kenderaan, lebih baik beli rumah untuk aset masa hadapan.

Permohonan pinjaman perumahan
Untuk kes saya agak mudah memandangkan kerajaan memberi sedikit kelonggaran kepada kakitangan yang ingin membeli rumah. Saya pernah gagal 3 kali pada percubaan membeli rumah pertama saya akibat kedudukan kewangan yang tidak menggembirakan pihak bank. Alah bisa tegal biasa, percubaan membeli rumah menggunakan loan kerajaan diluluskan walaupun setelah pemotongan bayaran, saya agak sesak. Namun itulah cabaran buat saya dan isteri menghadapinya demi anak-anak.

Anda perlu tahu sebelum membeli rumah
  1. Yuran guaman - Tanggung sendiri atau percuma kerana agak terbeban juga jika anda perlu tanggung sendiri. Perlu tanya dengan jurujual berkenaan terma dan syarat.
  2. Booking fees - Hangus sama ada pinjaman perumahan anda berjaya atau tidak. Jadi jangan mengharapkan lebih daripada sepatutnya.
  3. Wang deposit - Boleh guna simpanan KWSP, simpanan sendiri atau sebagainya. Lebih besar lebih cepat habis hutang.

Selain daripada apa yang saya tahu di atas, banyak ilmu daripada pakar hartanah yang boleh anda dapatkan di blog-blog mereka. Untuk masa sekarang, saya perlu buat simpanan lebih memandangkan kos untuk masuk rumah baru agak tinggi seperti pasang gerigi, buat pagar, pasang elektrik, pasang meter air dan lain-lain kos belum nampak. Mudah-mudahan semuanya berjalan seperti dirancang. Wallahualam.

Next
This Is The Current Newest Page

Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati dan sebagainya yang secara jelas menyalahi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] - SKMM.

Secebis mutiara kata adalah cermin diri, seribu bahasa lambang peribadi.

Don't hesitate to contact me at azlan7783@gmail.com for any review, advertorial or anything else.
EmoticonEmoticon