Friday, December 03, 2021

Silibus pendidikan rendah KPM jahat

Silibus pendidikan rendah KPM jahat| Tidak masuk akal! Benar apa diperjuangkan oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh. Sebagai ibu bapa saya sangat setuju dengan pendapat beliau. Isu beg sekolah pelajar berat, saya rasa masalah itu agak mudah diselesaikan jika punca besar kepada masalah itu diselesaikan terlebih dahulu.

Silibus sekolah rendah, isu beg berat sekolah rendah, sekolah rendah

Bertahun lamanya Malaysia melalui fasa pandemik dan endemik, kesan kepada sistem pendidikan negara juga tidak kurang isunya. Buka sekolah salah, tutup sekolah salah. Akhirnya telah sekian lama pelajar terpaksa belajar dari rumah. Ibu bapa juga mendapat tempiasnya. Dahulu semua aktiviti melibatkan sekolah boleh diserah bulat-bulat kepada guru di sekolah, namun kini, ibu bapa sama ada mahu atau tidak terpaksa membantu anak-anak menyiapkan kerja sekolah dan sebagainya.

Oleh kerana keterlibatan secara langsung ibu bapa terhadap sistem pendidikan negara, maka akhirnya ibu bapa sedar bahawa silibus pendidikan rendah KPM mengarut. Dahulu, saya hanya perlu menghadapi 4 subjek Ujian Penilaian Sekolah rendah (UPSR) iaitu Bahasa Melayu I dan II, Matematik, Bahasa English. Oleh kerana subjek yang lain tiada penilaian seperti agama Islam, Alam dan Manusia (Sains), Muzik dan sebagainya. Maka fokus untuk saya tidak banyak. Selebihnya masih sempat menyelitkan masa yang ada dengan bermain dan berseronok dengan pelajar lain. Saya rasa masa sekolah adalah waktu yang sangat seronok.

Perbandingannya kini, pelajar pendidikan rendah dibebani dengan bermacam subjek yang banyak dengan setiap subjek secara asasnya terdapat buku tulis, buku teks, buku latihan. Walaupun sehari paling tinggi ada lima (5) subjek sahaja, namun pelajar sekolah rendah perlu memfokuskan zaman kanak-kanak mereka dengan terlalu banyak subjek topik tinggi. Saya cuba jawab soalan penilaian anak saya bagi subjek muzik dan saya gagal dengan cemerlang. 33/100.

Pada awal PKP bermula, kerja sekolah dihantar kepada anak-anak saya. Mereka dibekalkan dengan satu telefon untuk dikongsi dengan tiga beradik. Setiap 2 jam, 1 kerja sekolah cikgu telah beri. Belum sempat mereka siapkan kerja sekolah tersebut, cikgu lain sudah beri kerja sekolah subjek lain pula. Anak-anak bersendirian di rumah tanpa ibu bapa kerana bekerja. Saya pulang kerja, cuba tanya kerja sekolah sudah selesai atau belum namun hampa. Banyak yang belum siap kerana mereka tidak faham untuk menjawab. Akhirnya saya hanya sempat bertahan selama 2 bulan dengan keadaan itu. Anak-anak saya dalam tekanan kerana kerja sekolah dan terlalu banyak subjek. Setelah itu, saya abaikan semua kerja sekolah selain daripada soalan yang menggunakan Google Form kerana ianya lebih mudah dan cepat untuk menyelesaikan tugasan.

Berbulan lamanya saya beri kebebasan kepada anak-anak saya untuk melakukan apa dimahu mereka dengan syarat tertentu. Tidak keluar dari rumah ketika ibu bapa bekerja, tidak bermain api atau cuba memasak sendiri dan perkara-perkara yang boleh mendatangkan mudarat kepada mereka. Hasilnya memberansangkan, mereka lebih gembira, dengar kata dan pandai menguruskan diri sendiri. Saya bahagia.

Silibus juga terlalu tinggi untuk pendidikan rendah. Soalan SPM Tahun 2000 saya sudah ada dalam soalan Darjah 4 Tahun 2021. Untuk apa? Kelebihan kepada mereka yang ber IQ tinggi sahaja. Akhirnya majoriti kanak-kanak di Malaysia tidak berupaya mencapai keputusan melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya. Kemudian membunuh minat mereka untuk belajar. Semakin meningkatnya kes gejala sosial pada masa akan datang kerana banyak perkara lain yang lebih menarik perhatian mereka daripada belajar 10,11,12 subjek setahun. Bila masa mereka bermain dan belajar bersosial, berkomunikasi,berinteraksi dengan rakan pelajar lain?

Saya sokong tindakan Cikgu Mohd Fadli Salleh dalam memperjuangkan perubahan kepada Dasar Pendidikan Negara. Pembuat Dasar orangnya bijak, tetapi tidak bijak dalam menerapkan nilai-nilai yang sepatutnya kepada kanak-kanak di Malaysia. Adab, adab dan adab. Tingkatkan keyakinan anak-anak kecil kita. Wallahualam.